suria

PPBM serah nama MP untuk Kabinet

Muyiddin Yassin melambai kepada media selepas beredar dari bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana. Foto MOHD SAHAR MISNI/The Star

PUTRAJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah mengemukakan nama-nama Ahli Parlimennya untuk dipertimbangkan sebagai menteri bagi barisan Kabinet baharu.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun tidak mendedahkan berapa nama yang dikemukakan untuk pertimbangan itu.

PPBM memenangi 13 kerusi parlimen dan 24 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Saya telah mengemukakan nama tetapi terserah kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) untuk membuat keputusan," katanya ketika ditemui di pejabat Yayasan Kepemimpinan Perdana di sini, Selasa.

Pada masa ini, PPBM sudah mempunyai dua kerusi Kabinet iaitu pengerusi parti dan Perdana Menteri Dr Mahathir serta Muhyiddin sebagai Menteri Dalam Negeri.

"Saya berharap proses untuk menubuhkan Kabinet dapat disegerakan," katanya.

Dr Mahathir berkata, kerajaannya akan mempunyai 10 kementerian penting terlebih dahulu, iaitu Kewangan, Dalam Negeri, Pertahanan, Pendidikan, Pembangunan Luar Bandar, Ekonomi, Kerja Raya, Pengangkutan, Multimedia Sains dan Teknologi serta Kementerian Luar.

PPBM, Muhyiddin Yassin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Pemimpin DAP jumpa PM

Artikel Lain