PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed hari ini mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini. Kehadiran Abu Kassim di premis berkenaan yang dilihat memasuki bangunan pada kira-kira 8.30 pagi menimbulkan teka-teki sama ada ia mempunyai kaitan untuk melantiknya semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. Ia susulan penamatan perkhidmatan penggantinya Tan Sri Dzulkifli Ahmad sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 14 Mei lepas. Dzulkifli, 50, pegawai undang-undang Jabatan Peguam Negara, yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mulai 1 Ogos 2016 hingga 31 Julai 2021 secara pertukaran sementara, kini kembali bertugas di Jabatan Peguam Negara. Tanpa menghuraikan pertemuannya dengan Dr Mahathir, Abu Kassim yang ditemui media selepas pertemuan itu berkata:"Saya hanya nyatakan pandangan saya mengenai beberapa perkara tertentu yang Tun Mahathir rasakan dia perlu tahu”. Ditanya sama ada pertemuan lebih sejam itu berkaitan pelantikan semula beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim berkata :"Saya tidak mahu bercakap mengenai perkara itu. Biar Perdana Menteri buat pengumuman”. Dr Mahathir dalam satu sidang media semalam berkata beberapa kedudukan dalam kerajaan termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum pelantikan dapat dibuat. - BERNAMA