PETALING JAYA: Dua lagi menteri Kabinet diumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad selepas diputuskan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) pada Khamis. Dr Mahathir sendiri akan mengisi portfolio sebagai menteri pelajaran, manakala Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga akan mengetuai Kementerian Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan. Perdana Menteri juga memaklumkan dua kementerian itu sebagai tambahan kepada tiga yang telah diumumkan sebelum ini iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin (Menteri Dalam Negeri), Lim Guan Eng (Kementerian Kewangan) dan Mohamad Sabu (Kementerian Pertahanan). "Tiga belas anggota Kabinet akan angkat sumpah pada Isnin kecuali saya," kata Dr Mahathir pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan di Yayasan Selangor di sini. Mengenai 10 lagi nama menteri dalam Kabinet, Dr Mahathir berkata ia akan diumumkan esok sekiranya tidak berlaku sebarang kelewatan. Malah beliau juga akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu biarpun pada cuti hujung minggu. "Saya mungkin keluarkan kenyataan semasa cuti (hujung minggu) kerana bagi saya tiada cuti buat masa ini," katanya. Ditanya mengapa berlaku kelewatan dalam pemilihan menteri dalam Kabinet, Dr Mahathir berkata keempat-empat parti komponen PH perlu menentukan calon yang sesuai untuk menerajui kementerian tertentu. "Kita ada empat parti... masing-masing mahukan kementerian tertentu. Kadang-kadang ada overlap. Jadi kita juga kena tentukan calon sesuai untuk menerajui kementerian tertentu," katanya.