GEORGE TOWN: Ketua Umno Bahagian Balik Pulau Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya meletak semua jawatannya dalam Umno dan Barisan Nasional (BN) berkuatkuasa Jumaat selepas kekalahan teruk parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Perkara itu diumumkan Dr Hilmi dalam satu kenyataan di sini semalam. Beliau berkata jawatan Ketua Umno Bahagian Balik Pulau itu akan dipangku oleh timbalannya Datuk Dr Muhamad Farid Saad. "Kini, sudah sampai masanya saya mengundurkan diri dari arena politik. Saya memohon ampun dan maaf sekiranya sepanjang mengabadikan diri sebagai wakil rakyat di Parlimen Balik Pulau dan di peringkat persekutuan ada salah dan silap yang telah dilakukan. "Sesungguhnya saya hanyalah manusia biasa yang berusaha sebaik mungkin untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat," katanya. Dr Hilmi bagaimanapun menjelaskan beliau kekal menjadi anggota Umno dan bersedia membantu semua pihak demi kepentingan rakyat. "Saya mendoakan Umno akan kembali bangkit dan terus membela untung nasib orang Melayu dan seluruh lapisan masyarakat di negara ini," katanya. Pada PRU14, 9 Mei lepas, calon Pakatan Harapan (PH) Muhammad Bakhtiar Wan Chik menewaskan Dr Hilmi yang juga penyandang kerusi Parlimen Balik Pulau dan calon PAS Muhammad Imran Muhammad Sa'ad dengan majoriti 6,464 undi selepas memperoleh 25,471 undi. Dr Hilmi mendapat 19,007 undi manakala Muhammad Imran hanya 5,298 undi. Pada PRU14, BN Pulau Pinang kehilangan lapan daripada 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu daripada tiga kerusi Parlimen yang dimenangi pada PRU13 dan hanya berjaya mempertahankan DUN Sungai Dua dan Permatang Berangan serta kerusi Parlimen Tasek Gelugor dan Kepala Batas. PH pula memenangi 37 kerusi DUN dan 11 kerusi Parlimen manakala PAS menang satu kerusi DUN di Penaga. Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen, keseluruhannya. - BERNAMA