KUALA LUMPUR: Kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Langgak Duta, di sini terus menjadi tumpuan anggota UMNO negeri sejak awal pagi Sabtu. Antara yang hadir Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin bersama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Melaka Datuk Ghazale Muhamad dan bekas anggota exco Melaka Datuk Latiff Tamby Chik. Mas Ermieyati yang juga bekas Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan tiba bersama yang lain pada 12.30 tengah hari dengan kenderaan mereka diletakkan berhampiran jalan masuk ke kediaman yang dikawal polis. Selang beberapa minit, kelihatan Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil Tan Sri Mohd Ali Rustam menuju ke kediaman itu. Mohd Ali berkata kehadiran mereka adalah bagi menyatakan sokongan terhadap bekas presiden parti itu. Tinjauan Bernama di lokasi mendapati kediaman Najib terus menjadi tumpuan kira-kira 30 pengamal media tempatan dan antarabangsa yang mula berkampung di sini sejak 6 pagi Sabtu. Bagaimanapun setakat 1.40 tengah hari Sabtu, tiada sebarang perkembangan berhubung siasatan terkini polis. Awal pagi Jumaat, polis merampas 72 beg berisi barangan kemas, pelbagai jenis matawang dan barangan berharga di sebuah kondominium mewah di Jalan Raja Chulan di sini yang dipercayai berkaitan bekas perdana menteri itu dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata selain itu, sebanyak 284 kotak yang mengandungi beg tangan pelbagai jenama mewah turut dirampas dari tiga unit kondominium di kawasan sama. Najib dan Rosmah telah disenaraihitam oleh Jabatan Imigresen daripada meninggalkan negara ini. Selasa lepas, Dr Mahathir berkata beliau menjangka pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib susulan penyiasatan dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu menyeleweng beratus juta dolar Amerika daripada dana 1MDB. - Bernama