suria

Parodi 'Geng Plastik Hitam' khas buat kaki ponteng puasa

PETALING JAYA: Kehadiran bulan Ramadan sentiasa dinanti-nantikan setiap umat Islam di seluruh dunia kerana keberkatannya termasuk peluang merebut pahala sepanjang tempoh menjalani ibadah puasa.

Bulan puasa menjadi masa di mana orang Muslim melipatgandakan amalan dan tentunya ia mampu memberi pulangan di akhirat kelak.

Namun, kemuliaan Ramadan tercemar dengan kehadiran 'Geng Plastik Hitam' yang bukan sahaja tidak menunaikan tanggungjawab berpuasa, malah tanpa segan silu membeli makanan pada siang hari.

Prihatin dengan gejala itu, seorang eksekutif kanan di syarikat swasta, Mohd Saufi Ahmad, 34, berasa terpanggil untuk 'mencuit' geng tersebut menerusi sebuah video parodi yang membawa unsur kritikan sosial.

Rakaman yang dimuat naik olehnya pada Rabu lalu itu tular setelah ia disiarkan semula oleh beberapa pengendali laman Facebook lain.

Bagaimanapun, apabila hanya sebahagian daripada video tersebut dimuat naik oleh pengendali tersebut, timbul salah faham dalam kalangan netizen yang mendakwa Mohd Saufi sengaja menggalakkan orang lain untuk tidak berpuasa.

Mohd Saufi memuat naik video parodi ini bertujuan untuk menyampaikan mesej tersirat kepada masyarakat.


"Video itu bukan metafora semata-mata, tapi ia benar-benar berlaku dalam masyarakat kita.

"Ada unsur kritikan sosial yang ingin saya sampaikan kerana geng plastik hitam ini wujud dalam pelbagai bentuk dan rupa. Tidak semestinya warna plastik itu hitam," katanya kepada mStar Online pada Ahad.

Jelas pengacara bebas itu, dia berharap agar mesej yang ingin disampaikan melalui video berdurasi seminit itu tidak disalahertikan, tetapi diselami dengan sebaiknya.

Saufi yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Media (Perhubungan Awam) itu mendapat inspirasi untuk menghasilkan video parodi tersebut selepas mengetahui gerangan pemilik sebenar suara latar sebuah iklan kurma popular.

"Saya ingatkan pemilik asal suara tu orang kita, rupanya dia orang India dan dan saya sudah lama mengagumi suaranya.

"Daripada situ terbit rasa nak buat parodi yang ada kelainan sempena bulan Ramadan," kata bapa kepada seorang anak lelaki berusia lima tahun itu.

Tambah Mohd Saufi, dia berharap 'Geng Plastik Hitam' menghentikan perbuatan ponteng puasa dan sebaiknya tidak mempengaruhi orang lain untuk melakukan perkara sama.

Menurutnya, geng tersebut perlu muhasabah diri kerana kanak-kanak kecil pun mampu untuk menjalani ibadah puasa dengan sempurna berbanding mereka yang sudah dewasa.

Geng Plastik Hitam

Artikel Lain