suria

Sindiket geng Gagak Hitam tumpas

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Polis berjaya melumpuhkan sindiket geng “gagak hitam” yang aktif melakukan samun mata wang asing selepas seorang anggotanya ditembak mati manakala empat lagi ditahan di sekitar Ampang, di sini awal pagi Sabtu.   

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif melakukan samun sejak 2016 dengan nilai kerugian mencecah RM12 juta.  

“Sindiket berkenaan menggunakan taktik menawarkan nilai tukaran wang tunai yang lebih tinggi  daripada harga pasaran sebelum melarikan wang mangsa mereka dan yang terbaru kes melibatkan US$150,000 (RM595,805) milik seorang lelaki dilarikan oleh anggota sindiket itu,” katanya dalam sidang media, Ahad.  

Mazlan berkata, anggota sindiket berkenaan dikesan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Jenayah Berat D9 yang sedang melakukan ronda cegah jenayah sebelum ternampak mangsa berusia 29 tahun itu meminta tolong dan memaklumkan dirinya disamun di Jalan Damai, Cheras di sini.

Katanya, pihak polis melancarkan gerakan memburu lima lelaki yang melarikan diri dengan sebuah Toyota Vios berwarna hitam sehingga kenderaan itu berhenti di Jalan Memanda 2, Ampang di sini.

“Ketika hendak membuat tangkapan, seorang daripada suspek yang melarikan diri bertindak agresif  dengan melibas sebilah parang ke arah seorang anggota polis sehingga hampir mencederakan tangan kiri anggota  tersebut,” katanya. 

Beliau berkata, anggota berkenaan telah melepaskan empat das tembakan dan suspek warga Afrika itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala empat lagi melarikan diri.

Polis yang menjalankan buruan selepas itu berjaya menahan empat lelaki iaitu dua tempatan , seorang warga Arab dan seorang lagi warga Afrika.

Mazlan berkata, polis sedang memburu dua lagi lelaki warga Afrika, dipercayai anggota sindiket, bagi membantu siasatan.  

Kesemua suspek berusia lingkungan 28 hingga 50 tahun itu direman selama empat hari bermula Sabtu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. - Bernama

Gagak Hitam

Artikel Lain