suria

“Kepada Faiz Roslan, saya nak ‘request’...” – Da’i Wan

Da'i Wan (kiri) dan Faiz Roslan.

PETALING JAYA: Permohonan maaf personaliti media sosial, Faiz Roslan yang dibuat secara terbuka susulan video parodi yang mengundang kontroversi mendapat reaksi pendakwah muda, Wan Dazrin Wan Din.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Da’i Wan berkata, sedutan video parodi yang dimuat naiknya di akaun Instagram miliknya sebagai teguran kepada Faiz telah pun dipadam pada Sabtu, selepas Faiz juga memadam video tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: “Itu tindakan orang dungu” - Da'i Wan tegur parodi melampau Faiz Roslan

ARTIKEL BERKAITAN: “Mak pun tak pernah pukul saya, siapa anda nak buat begitu”

Namun kata Da’i Wan, Faiz telah memberitahunya bahawa sebab video tersebut dipadam kerana ugutan pukul.

Da'i Wan.

“Kepada Faiz Roslan, lepas saya beritahu yang saya nak padam (video) sebab kamu dah padam video kamu, kamu nyatakan sebab kamu padam video tu sebab kamu risau takut ada manusia ugut nak pukul kamu.

“Boleh tak kalau saya nak ‘request’ (permintaan), sebelum kamu takut kerana manusia nak pukul kamu, kamu takutlah kerana Allah. 

“Takutlah kerana Nabi Muhammad SAW melaknat perbuatan yang kamu lakukan tu. Takutlah kerana itu yang terlebih dahulu, barulah kedua kamu takut kerana manusia. Boleh Faiz?,” kata Da’i Wan menerusi video yang dimuat naik di akaun Instagramnya pada Sabtu.

Permohonan maaf Faiz Roslan secara terbuka berhubung video parodi.

Jika video dipadam kerana takutkan ugutan, bekas peserta Da'i Pendakwah Milenia musim ke 2 ini berkata, kunci kekesalan Faiz masih belum dapat dilihat.

“Dan kamu ada kemungkinan untuk melakukan kesilapan yang sama. Saya ‘request’ untuk takutlah kerana Allah dan kamu pilih untuk tidak lagi melakukan video parodi lelaki menyerupai perempuan ke tahap yang paling teruk,” ujar Da’i Wan yang merupakan antara individu menegur video parodi Faiz tersebut.

Selain permohonan maaf secara terbuka pada Sabtu, Faiz turut kesal dengan tindakan seorang selebriti tempatan yang membuat teguran berbaur ugutan kepadanya melalui Twitter.

"Saya cuma ingin menegur sedikit tidak mahu sebut nama lah, mungkin dia artis, penyanyi, pelakon. Tapi cara awak tegur saya di Twitter seperti mengugut saya, seperti nak pukul.

"Sedangkan mak saya tidak pernah memukul saya, siapakah anda nak berbuat demikian?," kata Faiz yang mengakui kesilapannya menghasilkan video parodi tersebut memohon maaf kerana berasakan mungkin rakaman itu salah dan dimuat naik pada waktu yang tidak sesuai.

Dengan tarian yang menghairahkan dan berimej seksi, Faiz bersama dua lagi rakannya melakukan gerak bibir (miming) untuk lagu Lagi Syantik, nyanyian Siti Badriah.
Lebih mengejutkan, video parodi itu dimuat naik di laman sosial Instagram milik Faiz pada 1 Ramadan, hari pertama umat Islam menjalani ibadah puasa.

Paparan skrin video parodi Faiz Roslan yang mengundang kontroversi.

Dalam pada itu, Da’i Wan turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang prihatin terhadap isu mengenai video parodi Faiz.

“Setelah kita menegur terhadap mereka yang melakukan kemungkaran atau kesilapan, jagalah ketulusan hati kita. Pastikan landasan teguran itu berada pada jalan yang tepat.

“Menyampaikan teguran terbuka dengan mereka yang pilih untuk kemungkaran dan buat maksiat secara terbuka, kita dibenarkan dalam sudut pandangan Islam. Kita berdiri dengan ilmu, jangan risau,” ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain