suria

Mohamed Elias Setiausaha SPR baharu

PUTRAJAYA: Datuk Mohamed Elias Abu Bakar dilantik sebagai Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia yang baharu berkuatkuasa hari ini.

SPR dalam kenyataan hari ini berkata Mohamed Elias menggantikan Datuk Abdul Ghani Salleh yang bersara wajib pada 10 Mei lepas.

Menurut suruhanjaya itu Mohamed Elias, 58, berkelulusan dari Universiti Malaya, mula menyertai Perkhidmatan Awam pada 1 Julai 1983.

"SPR berharap dengan pengalaman beliau yang luas dalam Perkhidmatan Awam, pelantikan Mohamed Elias akan dapat memimpin urus setia SPR dalam merancang, menyelaras dan melaksanakan dasar-dasar yang ditetapkan dengan cekap dan berkesan," kata kenyataan itu.

SPR berkata Mohamed Elias pernah menyandang jawatan-jawatan strategik antaranya Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan; Pengarah Penyelidikan dan Dasar; dan Pengarah Bahagian Sumber Manusia, Kepenggunaan dan Pengurusan di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mulai 24 Mac 2008 hingga 27 April 2014.

Mohamed Elias juga pernah dilantik sebagai Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan, Kewangan dan Sumber Manusia di Kementerian Sumber Manusia pada 28 April 2014 hingga 14 Februari 2017 dan seterusnya Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) kementerian itu mulai 15 Februari 2017 hingga 20 Mei 2018.

Dalam pada itu, SPR turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Abdul Ghani atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada SPR mulai 19 Ogos 2013 hingga 9 Mei 2018 sebagai Setiausaha SPR. - BERNAMA

SPR, Mohamed Elias Abu Bakar

Artikel Berikut

Artikel Lain