suria

SMG bakal tamatkan operasi percetakan di Pulau Pinang

KUALA LUMPUR: Star Media Group Bhd (SMG) akan menghentikan operasi percetakannya di Bayan Lepas, Pulau Pinang berkuatkuasa September ini.

SMG dalam satu kenyataan berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha rasionalisasi kos operasi kumpulan.

Keputusan itu juga adalah sebahagian daripada usaha transformasi kumpulan terhadap digitalisasi dan menjadikan SMG lebih tangkas dan berkesan.

Katanya, transformasi itu akan membantu SMG memanfaatkan peluang dalam ruang media.

SMG berkata, langkah berkenaan selaras dengan usaha untuk memusatkan kerja-kerja percetakan akhbar berbahasa Inggeris itu di kemudahan yang terletak di Shah Alam.

"Langkah ini dijangka mengurangkan kos operasi keseluruhannya dan kesannya, kira-kira 100 pekerja di operasi percetakan Pulau Pinang dijangka diberhentikan," katanya.

SMG berkata, bagaimanapun, kumpulan tidak menjangkakan sebarang kesan buruk yang signifikan terhadap pengedaran akhbarnya di wilayah utara akibat daripada langkah yang diambil ini.

Malah, ia juga tidak akan menjejaskan penghantaran akhbar ke wilayah utara, terutama Pulau Pinang.

"Edisi utara, dengan penekanannya pada berita Pulau Pinang, akan kekal.

"Kami akan terus memastikan tuntutan pembaca kami di Pulau Pinang dipenuhi," katanya.

Minggu lalu, SMG mengumumkan bahawa peningkatan operasi dan langkah pengurusan kos yang berterusan menyaksikan keuntungan sebelum cukai meningkat lebih tinggi sebanyak 173 peratus kepada RM17.59 juta bagi suku pertama 2018.

Star Media Group Bhd

Artikel Lain