suria

10 ditahan bantu siasatan pergaduhan di Jalan Penang

A. Thaiveegan.

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang telah menahan 10 individu bagi membantu siasatan kes pergaduhan di Jalan Penang di sini awal pagi Sabtu lepas yang mengakibatkan seorang pelancong Britain parah ditikam.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A. Thaiveegan berkata mereka yang ditahan itu terdiri daripada empat rakyat asing dan enam warga tempatan.

Katanya polis akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi mengenal pasti sama ada keempat-empat warga asing itu memasuki negara ini secara sah atau tidak kerana pasport mereka tidak dijumpai di tempat kejadian.

"Dalam kejadian pada 4 pagi itu, siasatan awal polis mendapati mereka yang terlibat dengan pergaduhan itu gagal mengawal kelakuan mereka akibat pengambilan minuman keras yang berlebihan," katanya kepada pemberita selepas mengagihkan risalah pencegahan jenayah kepada pelancong di Swettenham Pier Cruise Terminal sini hari ini.

Katanya kesemua yang ditahan itu direman sehinggan 28 Mei untuk membantu siasatan.

Sementara itu mengenai lelaki yang dipercayai warga Britain berkenaan, Thaiveegan berkata dia kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dan keadaannya dilaporkan stabil.

Terdahulu, beliau menasihati pelancong yang melawat negara ini supaya menghormati undang-undang dan menjaga keamanan.

"Kadang-kadang mereka mereka (pelancong) tidak dapat kawal diri mereka kerana terlalu ‘enjoy' minum arak berlebihan dan cari pasal," katanya.

Beliau berkata seramai dua juta pelancong melawat George Town sepanjang tahun lepas manakala sehingga April lalu, kira-kira 500,000 pelawat mengunjungi bandar raya ini. - BERNAMA

gaduh, Jalan Penang

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan