suria

1MDB: Lebih banyak nama akan muncul

Clare Rewcastle Brown.

SHAH ALAM: Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown tidak menolak kemungkinan akan ada lagi beberapa nama dan individu terlibat dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tampil dengan tujuan mendapatkan imuniti.

Dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian, Clare berkata, selain nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau menjangkakan beberapa nama lain akan terdedah secara berperingkat dengan sendirinya.

“Mungkin ada antara mereka akan membantu siasatan untuk dapatkan imuniti.

“Jika mereka memberikan maklumat yang membantu mengesan pelaku, ia akan mempercepatkan proses perundangan dilakukan,” katanya.

Menurutnya, rakyat di seluruh Malaysia ketika ini jelas mahu perkara berkaitan kes skandal 1MDB disiasat hingga selesai dan jelas.

Dalam masa sama, editor portal yang berpangkalan di London itu berkata, beliau tidak menolak kemungkinan lebih banyak laporan polis akan dibuat berkaitan 1MDB.

Mengulas berkaitan jutawan kontroversi, Low Thaek Jho atau Jho Low, Clare sekali lagi menegaskan kenyataannya sebelum ini yang mengatakan individu berkenaan adalah pemain utama di belakang skandal operasi 1MDB.

“Dia (Jho Low) adalah pemain utama, saya tegaskan sekali lagi, dia adalah individu penting kepada (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) dan isterinya, (Datin Seri) Rosmah (Mansor) yang mainkan peranan dalam skandal operasi 1MDB.

“Jho Low juga telah berinteraksi dengan Najib melalui panggilan telefon dan emel, malah memanggil Najib sebagai ‘big bos’,” katanya.

Sementara itu, mengenai persoalan siapa menaja portal kontroversi itu, Clare ringkas menjawab, tiada siapa yang membayarnya.

“Saya biayanya sendiri guna gaji saya. Seperti anda juga sebagai wartawan, pastinya saya juga membuat kajian saya sendiri mengenai setiap pendedahan saya lakukan.

“Modal saya hanya komputer riba dan telefon," katanya lagi sekali gus menafikan laporannya sebelum ini ditaja mana-mana pihak yang berkepentingan. - Sinar Online

Sarawak Report, 1MDB

Artikel Sebelum

Artikel Lain