suria

Penganggur didakwa muat naik status jelik terhadap Agong

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memuat naik status jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di laman Facebook dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Amir Izhar Hamiruddin, 33, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Zamri Bakri.

Dia didakwa menggunakan aplikasi melalui laman profil Facebook 'Amir Izhar' secara sedar dengan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 12.38 tengah hari, 16 Disember 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntuk hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin namun Amir Izhar yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Jun ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

penganggur, Agong

Artikel Lain