KOTA KINABALU: Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai melakukan serbuan di rumah Presiden STAR Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan di Keningau. Bagaimanapun, pegawai SPRM di Kota Kinabalu mahupun Dr Jeffrey sendiri tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan serbuan tersebut yang didakwa dilakukan lewat malam Isnin. Difahamkan serbuan itu masih dijalankan dan mereka turut memeriksa rumahnya di bandaraya ini. Dr Jeffrey dipercayai disiasat berkaitan amalan rasuah membabitkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang baharu sahaja selesai. STAR Sabah menjadi 'king maker' ketika Parti Warisan Sabah dan Barisan Nasional (BN) Sabah masing-masing terikat 29 kerusi daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu. Dr Jeffrey pada mulanya mengadakan rundingan dengan Warisan tetapi akhirnya berpihak kepada BN Sabah membolehkan Tan Sri Musa Aman mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 10 Mei lalu. Musa bagaimanapun hilang sokongan majoriti dan STAR Sabah mengikut jejak langkah UPKO meninggalkan BN Sabah. Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 12 Mei selepas Musa hilang sokongan majoriti.