suria

Tiada soalan bersifat politik dalam ujian biasiswa - JPA

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini menafikan adanya soalah bersifat politik dalam ujian biasiswa jabatan itu.

JPA dalam kenyataannya berkata calon yang ingin memohon penajaan JPA perlu menjalani ujian Psikometrik sebagai proses penapisan kelayakan untuk mendapatkan tajaan.

Menurut jabatan itu, soalan-soalan yang disediakan tidak bersifat politik, perkauman atau menyentuh isu-isu yang sensitif seperti yang didakwa sebaliknya, soalan yang disediakan meliputi penilaian jati diri dan semangat cintakan negara.

“JPA ingin menjelaskan bahawa isu yang dinyatakan (sebuah portal berita) mengenai soalan politik di dalam ujian biasiswa JPA adalah tidak berbangkit,” kata kenyataan itu.

JPA juga sentiasa memastikan proses yang dilaksanakan dalam setiap Program Penajaan JPA mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan demi melahirkan pelajar yang cemerlang dan menyumbang khidmat bakti kepada negara.

Sebelum ini, Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad menggesa JPA menjelaskan mengapa soalan berbaur politik ditanya dalam ujian pemilihan penerima biasiswa jabatan itu Anggota Parlimen Setiawangsa itu berkata pelajar dikehendaki memberikan nilai antara 1 (sangat tidak bersetuju) hingga 7 (sangat setuju).

Beliau mendakwa antara soalan yang dikemukakan ialah “Saya sokong apa yang dilakukan oleh kerajaan saya”.

“Saya sokong apa-apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri” dan “Saya percaya bahawa saya tidak patut bersifat antikerajaan dengan menyokong pihak pembangkang”. - BERNAMA

JPA, politik, biasiswa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain