suria

'You nak apa?' Mohd Shukri dedah dua kali diugut MP dari utara

PETALING JAYA: Pelbagai halangan terpaksa dilalui ketika menjalankan proses siasatan pertama kes SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu memberitahu salah satunya adalah gangguan daripada salah seorang ahli Parlimen dari utara tanah air.

"Seorang ahli Parlimen yang terkenal dengan 'king of cash' (gelaran) dua kali bertemu dengan saya meminta saya menghentikan siasatan.

"Dia tanya saya 'apa you nak'? Saya jawab 'jangan kacau siasatan saya biar kami siap siasatan dan biar AG (Peguam Negara) yang putuskan," katanya pada sidang media, Selasa.

Tidak cukup sekali, Mohd Shukri berkata ahli Parlimen berkenaan sekali lagi bertemu dengannya.

"Tak puas hati. Kali kedua dia datang, minta saya 'settle' lagi.

"Tapi saya bagitau 'sekali lagi you datang, saya akan tangkap sekarang juga. Jadi itulah yang berlaku," katanya mengimbas kejadian sekitar 2015.

Menurut Mohd Shukri, beliau berasa sedih kerana dituduh melakukan konspirasi dan pembelot kerana menyiasat kes SRC International dan 1MDB seterusnya mahu mengembalikan wang negara.

"Padahal kami berjuang untuk negara. Nak ambil balik duit negara, dan AS pun dah janji nak bagi balik ke negara," katanya.

Ditanya mengapa beliau hanya diam dan tidak bersuara secara terbuka selepas bersara, Mohd Shukri berkata beliau tidak melihat cara itu akan memberikan kesan kepada masyarakat.

"Kita takkan berjaya, kita hanya berjaya pada hari pertama dan ditangkap, kemudian orang Malaysia akan lupa.

"Lebih baik guna strategi sampaikan maklumat kepada rakyat, melalui kumpulan WhatsApp, kelompok kecil, memang ramai dapat beribu-ribu orang, saya jumpa orang saya beritahu, cara tu lebih berkesan daripada cakap secara terbuka," katanya.

Mohd Shukri berkata selama ini beliau tidak pernah menceritakan tentang tekanan dan dugaan yang perlu dihadapinya kepada sesiapa pun.

"Saya tak pernah cerita perkara ini kepada anak buah saya, anak bini saya sebab saya bimbang mereka takut atau tidak bersemangat. Kat polis pun saya tak buat report (laporan).

"Saya simpan sampai hari ini. Rupa-rupanya Allah beri peluang untuk saya bercerita hari ini," katanya.

cash of king, Mohd Shukri, SPRM

Artikel Lain