suria

Puluhan juta ditemui dalam 11 beg, ada 61 beg lagi

KUALA LUMPUR: Sebanyak 11 daripada 72 beg yang disita polis dalam operasi melibatkan tiga unit kediaman milik keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berisi wang tunai mencecah puluhan juta ringgit Malaysia.

Ia juga termasuk pemeriksaan di kediaman mewah di Pavilion Residence milik individu bergelar Tan Sri.

Laporan Berita Harian menyebut, pasukan penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman selesai menjalankan proses pengiraan di ibu pejabatnya dekat Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini, Isnin malam.

Beg yang disita itu telah dibawa berperingkat-peringkat ke JSJK untuk proses pengiraan.

Proses membawa wang berkenaan dikendalikan pegawai dan anggota JSJK dengan kawalan ketat anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman.

Proses pengiraan yang bermula sejak pukul 10 pagi Isnin itu mengambil masa panjang disebabkan jumlah wang terlalu banyak, termasuklah membabitkan pelbagai mata wang asing.

Selain itu, anggota penyiasat JSJK juga perlu merekodkan setiap nombor siri setiap mata wang berkenaan untuk dijadikan bukti dalam proses siasatan susulan.

Akhbar ini juga menyebut, sebuah bank akan menjalankan proses pengiraan nilai semua barang kemas dan jongkong emas yang dirampas dalam serbuan sebelum ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, ketika dihubungi bagi mengesahkan perkara berkenaan enggan mengulas lanjut proses pengiraan wang yang sedang dijalankan pihaknya.

Ini bagi mengelakkan wujudnya pelbagai spekulasi tidak benar berhubung wang tunai dan barang yang dirampas dalam pemeriksaan JSJK sebelum ini.

Najib, Pavilion, Amar Singh

Artikel Lain