suria

Hampir RM120 juta wang tunai dirampas!

PETALING JAYA: Hampir RM120 juta ditemui selepas pasukan penyiasat selesai mengira wang tunai dalam pelbagai mata wang yang dirampas dari Pavilion Residences pada minggu lalu.

Sumber berkata, pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman selesai melakukan pengiraan wang tersebut di ibu pejabat di Menara 238, Jalan Tun Razak pada Rabu.

"Proses kiraan itu mula dibuat pada Isnin dan para penyiasat terpaksa mengambil masa yang lama bagi memastikan proses siasatan dilakukan dengan berhati-hati.

"Sebanyak 30 beg yang berisi wang tunai dikira oleh anggota polis dan dibantu oleh para pegawai Bank Negara. Jumlah wang keseluruhan adalah sekitar RM120 juta," kata sumber.

Selepas mengira, beg wang tunai itu dibawa ke Bank Negara untuk disimpan.

Beg berisi wang itu termasuk antara 284 kotak yang diisi dengan beg tangan berjenama mewah, jam tangan dan barang kemas yang dirampas dari tiga kondominium mewah di sini.

Kondominium mewah milik Najib di Jalan Raja Chulan menjadi tumpuan media.

Penggeledahan itu adalah sebahagian daripada siasatan polis ke atas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Jumaat lalu, polis merampas barang berharga dan wang tunai berikutan pemeriksaan yang dilakukan di enam lokasi yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, termasuk pejabat Perdana Menteri, kediaman rasminya dan premis lain.

Dalam laporan polis, Najib mendakwa bahawa wang tunai yang diperoleh dari Pavilion Residences merupakan derma daripada kawan-kawannya dan digunakan untuk kempen pilihan raya Barisan Nasional.

Apabila dihubungi, pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh enggan mengulas lanjut kerana perkara itu masih dalam siasatan.

"Saya tidak dapat mengulas mengenai jumlah wang tunai yang telah dikira. Saya akan mengadakan sidang media untuk memaklumkan mengenai perkembangan siasatan," katanya.

Sumber lain juga telah dilaporkan sebagai berkata bahawa proses mengira wang itu sangat membosankan kerana ia melibatkan pelbagai mata wang, dan nombor siri pada setiap wang kertas yang dirampas perlu direkodkan.

1MDB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain