suria

Umno Perlis pecat Azlan Man serta-merta

PETALING JAYA: Datuk Seri Shahidan Kassim menuntut supaya Menteri Besar Perlis yang baharu dilantik, Datuk Seri Azlan Man dipecat sebagai ahli Umno berkuatkuasa serta merta.

Pengerusi Perhubungan Umno Perlis itu berkata, cadangan pemecatan Azlan dibuat kerana beliau tidak mengikut keputusan parti itu berhubung calon menteri besar yang telah dipersetujui.

ARTIKEL BERKAITAN: Raja Perlis murka tindakan Adun BN boikot majlis angkat sumpah MB

"Oleh kerana Azlan Man tak ikut keputusan BN, maka BN Perlis dan Umno Perlis menyarankan pemecatannya serta merta," katanya yang juga Pengerusi BN negeri pada sidang media sebentar tadi.

Menurut Shahidan, tuntutan supaya Azlan dipecat itu sudah dimaklumkan kepada naib presiden Umno yang kini menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menjalankan tugas timbalan presiden.

Shahidan yang mengadakan sidang media di Kuala Lumpur, berkata Azlan sepatutnya menolak pelantikan itu kerana beliau tidak mendapat sokongan majoriti.

Sembilan Adun BN Perlis gagal hadir pada majlis mengangkat sumpah jawatan yang berlangsung pada Khamis pagi, bagaimanapun ia dihadiri tiga Adun Pakatan Harapan (PH) dan dua Adun PAS.

"Mengikut pekeliling dihantar kita boleh lakukan pemecatan kepada mana-mana pihak yang berunding dengan pihak lain tanpa kebenaran kita.

"Jadilah MB tanpa apa-apa parti," katanya.

Jelas Shahidan keputusan mengenai cadangan pemecatan Azlan akan diputuskan Umno Pusat.

"Umno boleh pecat Tun Daim, Rais Yatim... kami pun pecat dialah (Azlan). Kami minta dia dipecat berkuatkuasa hari ini tapi (Umno) Pusat kena maklum (keputusan)," katanya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Shahidan berkata Ahmad Zahid sudah menandatangani watikah pertama pelantikan MB Perlis sebaik sahaja beliau memenang jawatan sebagai pengerusi BN.

"Kita dah minta setiausaha agung tandatangan watikah pertama, dia sign dan setuju... lepas tu Zahid sign apabila beliau pegang jawatan pengerusi BN," katanya.

Pada masa sama, Shahidan berkata sembilan Adun BN yang memboikot upacara majlis angkat sumpah Azlan pada Khamis akan menghadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail seminggu sebelum Aidilfitri.

"Seminggu sebelum raya nanti, semua sembilan Adun BN ini akan menghadap Tuanku dan meminta Tuanku melantik MB yang dicalonkan pengerusi BN (Ahmad Zahid)," katanya.

Malah Shahidan turut meminta campur tangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyelesaikan krisis yang melanda negeri itu.

"Kami memohon supaya Tun Dr Mahathir campur tangan dan kaji semula kuasa melantik menteri besar.

"Apakah boleh dipilih mengikut kehendaki hati atau keputusan majoriti?," soalnya.

Shahidan Kassim

Artikel Lain