suria

Krisis sebenar di Perlis: Pertembungan karakter Raja & Shahidan

PETALING JAYA: Krisis di Perlis tidak nampak kesudahannya apabila pelantikan Datuk Seri Azlan Man selaku menteri besar oleh Raja Perlis, bukan sahaja diboikot kesemua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN), malahan pengerusinya Datuk Seri Shahidan Kassim serta merta memecat Azlan sebagai anggota Umno.

Selepas hampir dua minggu tanpa kerajaan, Shahidan dan BN negeri mengemukakan Datuk Ismail Kassim iaitu adik Shahidan sebagai calon MB. Namun pencalonan ini ditolak Istana Arau.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullai mahu mengekalkan Adun Bintong itu sebagai MB untuk penggal kedua.

Untuk rekod, BN menang 10 daripada 15 kerusi DUN dan ini bermakna telah memperoleh mandat dua pertiga.

Masalahnya, Azlan tidak mendapat mandat daripada BN negeri dan juga anggota-anggota DUN dalam kalangan partinya sendiri.

Maka terjadilah krisis.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong Datuk Seri Azlan Man mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau hari ini. Azlan mengangkat sumpah jawatan itu tanpa kehadiran sembilan lagi ADUN Barisan Nasional (BN). --foto BERNAMA 

Namun khalayak ramai perlu terlebih dahulu memahami kenapa krisis ini berpanjangan dan sukar untuk diselesaikan.

Ia berkisar kepada hubungan dingin di antara Istana dengan Shahidan sejak bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu menjadi menteri besar Perlis lagi.

Punca yang menjurus kepada hubungan dingin itu adalah soal pertembungan karakter dan pesonaliti yang besar.

Raja adalah Raja dan tidak gemar dibayangi oleh satu lagi karakter yang besar dan bagaikan seorang 'raja' di negeri yang kecil seperti Perlis.

Misalnya majlis rumah terbuka Aidilfitri yang dianjurkan Shahidan meriah dengan pelbagai hadiah dan door gift sentiasa dibandingkan dengan majlis yang dianjurkan pihak Istana.

Ini tidak disenangi oleh Istana. Tetapi mengenali sikap gung-ho Shahidan, beliau tidak mengendahkan sensitiviti itu.

Dan mengenali Shahidan adalah Shahidan, juga dengan karakter yang besar dan bagaikan 'warlord', tidak ada siapa yang mahu bertolak ansur dalam situasi seperti ini.

Krisis akan berterusan dan berpanjangan selagi tiada pihak yang bersedia bertolak ansur dan memberi laluan kepada jalan penyelesaian.

Cara Shahidan bertutur di dalam sidang media khas yang diadakannya untuk membantah pelantikan Azlan sebagai MB jelas sekali menunjukkan yang beliau tidak berasa hairan atau gentar bahawa Raja akan murka dengan tindak tanduknya itu.

Malah beliau dalam nada yang agak keras mengherdik:"Kalau hendak lantik MB tidak ikut mandat parti yang menang dua pertiga lebih baik jangan buat pilihan raya. Lantik saja siapa yang suka sebagai MB."

Dan apabila menjawab soalan wartawan apakah tindakannya ini akan mencetus kemurkaan Raja, Shahidan jawab: "Apa itu murka?" Bagi tahu saya apa yang dimaksudkan dengan murka. Kami bertanding pilihan raya kami berhak menentukan siapa yang patut jadi menteri besar kami."

"Saya merayu kepada Raja supaya menghormati perlembagaan dan tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri. 

"Saya juga merayu kepada PM supaya campur tangan dalam urusan seperti ini," tegas Shahidan.

Menurut Shahidan beliau sudah tiga kali bertolak ansur. Pertama pada pilihanraya 2008, kedua selepas pilihanraya 2013 dan sekarang selepas pilihanraya 2018.

Katanya, dalam ketiga-tiga pilihan raya ini dia membawa kemenangan dua pertiga kepada BN, malah BN Perlis tidak pernah tumpas dalam sejarah mana-mana pilihan raya pun.

Tetapi kali ini katanya, dia tidak akan berganjak lagi kerana dia mendapat mandat daripada rakyat menerusi pilihan raya.

Raja pada masa yang sama juga enggan bertolak ansur malah dalam titah baginda ketika upacara mengangkat sumpah MB pada sebelah pagi, Tuanku telah mengkritik tindakan sembilan wakil rakyat BN termasuk Shahidan kerana memboikot majlis berkenaan.

Sebaliknya Raja bertitah baginda tidak mahu seorang puppet dilantik sebagai MB.

Dan baginda menyoal, jika Shahidan berhasrat untuk menjadi MB kenapa tidak bertanding di kerusi DUN.

Jadi jelas sekali krisis yang sedang berlaku di Perlis sekarang bukanlah soal parti atau calon MB tetapi soal pertembungan di antara istana dan Shahidan. 

Shahidan, Azlan, Raja Perlis, BN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain