suria

Xavier Justo sedia bantu Malaysia dapatkan semula wang dicuri daripada 1MDB

Justo

KUALA LUMPUR: Xavier Justo, lelaki yang membawa skandal 1MDB ke pengetahuan dunia telah menyatakan kesediaannya untuk menjadi saksi dalam perbicaran yang melibatkan pelaburan tersebut.

Dalam temubual eksklusif bersama The Star, beliau berkata: "Apa sahaja yang saya boleh lakukan demi keadilan dan membantu negara anda bagi mendapatkan kembali wang yang dicuri, saya akan lakukannya."

Pada temubual yang diadakan di lobi hotel di sini pada Khamis malam itu, Justo turut mendedahkan punca yang mendorong beliau tampil membongkar skandal itu ke pengetahuan umum.

Bekas eksekutif PetroSaudi International berkata, segalanya bermula ababila berlaku perbalahan dengan salah seorang pengasas firma itu, Tarek Obaid.

"Saya tinggalkan syarikat itu kerana bergaduh dengan Obaid. Saya dapat dokumen ini (secara sah). Saya nak tekankan di sini sebab hanya di Asia bila saya baca artikel mengenai saya, mereka merujuk saya sebagai 'lelaki yang mencuri data'.

"Fail itu diberikan kepada saya, saya tidak mencuri apa-apa," katanya.

Clare Rewcastle-Brown.

Justo adalah individu penting dalam isu membabitkan 1MDB dan maklumat yang dikongsinya kepada editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown telah mencetuskan siasatan ke atas dana tersebut di beberapa negara di seluruh dunia.

Justo digambarkan sebagai seorang 'hero' dan 'penjahat' dalam skandal 1MDB serta apabila ditanya tentang persepsinya mengenai perkara itu, Justo berkata ia tidak menjejaskannya.

"Secara jujurnya, saya tidak kisah... saya tidak perlukannya. Ia berlaku," katanya sambil menambah bahawa hero sebenar dalam skandal ini adalah rakyat Malaysia.

"Hero sebenar adalah rakyat Malaysia yang mengundi Dr Mahathir, mereka yang cipta sejarah.

"Saya cuma bahagian kecil dalam apa yang berlaku.

"Mereka yang mengundi, yang tinggal di sini yang telah mengambil risiko. Mereka adalah hero, bukan saya," kata Justo.

Xavier Justo

Artikel Lain