KUALA LUMPUR: Datuk Ismail Kassim merafak sembah kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail untuk melantik calon lain selain dirinya dan Ahli Dewan Undangan (Adun) Bintong Datuk Seri Azlan Man sebagai menteri besar Perlis. Adun Tambun Tulang itu juga mencadangkan mana-mana lapan Adun Barisan Nasional (BN) yang lain untuk menerajui negeri berkenaan. "Demi menyelesaikan kemelut yang berlaku ini, kami mencadangkan mana-mana satu antara 'mereka' untuk dicalonkan sebagai menteri besar. Mereka ini mempunyai pelbagai latar belakang yang tidak ada masalah memimpin negeri, asalkan bukan saya dan Azlan. "Kami bersedia untuk bersama-sama menghadap Tuanku sekiranya dipanggil bagi memperbetulkan keadaan demi kebaikan rakyat Perlis,” katanya kepada pemberita di sini malam Khamis. Turut hadir lapan Adun BN Perlis yang lain. Ismail berkata beliau tidak mahu dilihat sebagai gila kuasa atau menteri besar boneka hanya kerana namanya dicalonkan oleh abangnya yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim. "Tuanku kaitkan saya tentang kerahsiaan dan boneka, saya dah tarik diri dah. Tak timbul soal boneka. Datuk Seri Shahidan Kassim nak bagi kat adik dia tak timbul dah, adik bongsu ke, adik sulung ke tak timbul, tak timbul bawah ketiak (abang). "Tak timbul soal boneka, itu soal alasan kalau diberi kepercayaan dicuba, bila kita angkat sumpah kerahsiaan kita rasa dalam diri kita diberi satu amanah yang penting," katanya. Menurut Ismail beliau pernah menjadi pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dari November 2011 hingga Disember 2016 dan itu bermakna dirinya adalah seorang yang dipercayai. "Tuanku tak kenal saya, saya pernah jadi pengerusi besar-besar, saya bukan jadi pegawai tadbir diplomatik, tapi pengerusi suruhanjaya. Suruhanjaya besar ini di bawah Agong. "Saya satu-satunya pengerusi yang dapat kuasa eksekutif daripada perdana menteri pada masa itu. Saya dapat kuasa eksekutif maknanya saya tak pernah rujuk perdana menteri atas setiap keputusan yang saya ambil dan buat," katanya. Pada Khamis pagi, Azlan telah mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perlis untuk penggal kedua di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau. Bagaimanapun sembilan wakil rakyat BN memboikot majlis angkat sumpah menteri besar negeri berkenaan Negeri itu tidak mempunyai menteri besar selama dua minggu sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas BN Perlis mencadangkan kepada istana nama Ismail sebagai menteri besar baharu pada 12 Mei lalu.