KUALA LUMPUR: Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low sentiasa menekankan dia tidak memainkan sebarang peranan dalam 1MDB atau PetroSaudi International, dua syarikat yang mempunyai kaitan dengan skandal 1MDB. Namun pemberi maklumat warga Switzerland, Xavier Andre Justo berkata dia bertemu Jho Low bukan sekali tetapi dua kali untuk berbincang perkara antara 1MDB dan PetroSaudi International. Ini adalah pendedahan pertama Justo berhubung kaitan antara Jho Low, 1MDB dan PetroSaudi. Sudah dibuktikan daripada perbelanjaan awal AS$1 bilion (RM3.9 bilion) yang dipindahkan ke PetroSaudi, sejumlah AS$700 juta dimasukkan ke dalam akaun milik sebuah syarikat dikenali sebagai Good Star, syarikat dikendalikan Jho Low sebagaimana dimaklumkan dalam kertas siasatan. Justo dalam satu temubual eksklusif bersama The Star di sebuah hotel di sini berkata:"Saya bertemu dengannya dua kali. Saya beritahu pihak berkuasa Switzerland mengenai perkara ini." Malah Justo berkata dia mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila menyedari sejumlah besar wang dikendalikan dan PetroSaudi mendapat komisen tinggi. "(Pegawai tertinggi PetroSaudi) Tarek Obaid dan Patrick Mahony mempunyai akses kepada angka sebenar tetapi saya tahu ada sesuatu yang tidak kena berlaku. "Terdapat komisen dalam perniagaan minyak. Itulah caranya dan tidak perlu menjadi naif. Perniagaan minyak bermakna rasuah. "Ia adalah sesuatu (pelik) untuk mengambil 1% atau 5% tetapi ia sesuatu yang pelik untuk mengambil lebih 80% daripada jumlah itu dalam bentuk komisen. Saya tahu ada sesuatu tidak kena, tetapi saya tidak menjangkakan kerja gila ini," kata Justo. Justo berkata dia terkejut bagaimana skandal itu boleh menjadi semakin panas. Dari PetroSaudi, sekandal itu merebak ke syarikat lain di Timur Tengah. Justo hadir di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes 1MDB. "Ia sukar dipercayai bagaimana tamak, betapa gila individu-individu tersebut. Mereka benar-benar berpendapat apa sahaja yang ada di dalam bank pusat Malaysia adalah milik mereka. "Jadi kita perlu satu bilion. Kita perlu lagi tiga bilion. Mari keluarkan bon terhadap beberapa cagaran palsu. Kita perlukan lebih banyak lagi. Mari lakukannya. Mereka benar-benar fikir wang Malaysia adalah wang mereka sendiri," katanya. Justo berkata dia memegang fail dari PetroSaudi yang diberikan kepadanya kerana dia mahu menuntut wang yang sepatutnya dibayar syarikat tersebut kepadanya. Fail-fail berkenaan kemudian didedahkan sehingga mencetuskan siasatan terhadap skandal rasuah terbesar di dunia. Justo berkata dia menyerahkan fail itu kepada pemilik The Edge Communications Tong Kooi Ong menerusi Clare Rewcastle Brown selepas yakin terhadap keikhlasan dan motivasi mereka untuk mendedahkan skandal 1MDB. "Mereka jelaskan kepada saya bagaimana mesin rasuah 1MDB ini berfungsi. "Pada awalnya sudah tentu saya kata saya mahukan wang. Saya boleh menjual fail tersebut untuk mendapatkan banyak wang. Saya hanya menuntut wang 'hutang' PetroSaudi terhadap saya. "Saya hanya mahu kesemua mereka, bermula dari yang pertama sehingga individu terakhir dihukum kerana kesalahan jenayah mereka. "Ia bukan sahaja mengenai wang yang mereka curi. Ya, ia amat teruk kerana wang itu sepatutnya pergi ke pendidikan dan penjagaan kesihatan kanak-kanak bukannya beg mewah, bot, jet dan pelacur. Ini adalah jenayah kewangan. "Mereka juga melakukan lebih teruk lagi daripada itu. Mereka membunuh sesama manusia. Mereka melakukan ugutan. Mereka hantar saya ke penjara. Mereka mengugut isteri saya dengan penangkapan. Justo dipenjarakan selama tiga tahun di Thailand. "Mereka ugut isteri saya bahawa anak lelaki saya akan berada di rumah anak yatim di Thailand. Mereka perlu bayar untuk semua itu," katanya. Justo berkata hanya seperkara yang dia tahu mengenai pentadbiran Najib adalah berkomplot dalam menghantarnya ke penjara di Thailand selama tiga tahun. "Encik Patrick Mahony, atas kebenaran atau arahan orang-orang kerajaan anda, dan kerjasama dengan kerajaan anda, pergi berjumpa saya di dalam penjara. "Saya tidak pernah disabitkan dengan apa-apa (kesalahan). Saya seorang pegawai bank dan agak berjaya. Saya tidak perlukan ini tetapi ia berlaku, jadi jika orang fikir saya lelaki jahat, biarlah. "Jika orang fikir saya adalah wira, saya bukan seorang wira. Wira sebenar adalah rakyat Malaysia," katanya. Hari ini, Justo berkata dia berada di tempat yang lebih baik tetapi pengalaman itu telah mengubah kehidupannya. "Semuanya baik-baik sahaja. Percayalah, saya sudah biasa menjalani taraf kehidupan yang tinggi. Sekarang saya tidak ambil peduli lagi. Saya hanya mahu bersama rakan-rakan dan keluarga. "Sebelum ini saya hanya minum wain Perancis. Sekarang saya tidak peduli jika anda beri saya wain paling teruk di muka bumi ini. "Saya mahu berada dekat dengan orang yang saya sayang. Saya berusia 52 tahun. Saya ada kehidupan yang menarik. Saya tidak kisah mengenai perkara berkaitan kebendaan lagi," katanya.