PORT DICKSON: Pelajar wanita Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) yang dipercayai dibunuh malam tadi, tidak pernah mengadu ada menerima sebarang ugutan jenayah sebelum ini. Menurut rakan sekelas mangsa, Syarifah Noor Shahira Sheikh Mohd Zain, 19, mangsa iaitu Nuralya Damia Mohd Hairi, 19, yang berasal dari Klang, Selangor juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap yang ganjil sebelum ini kecuali bertukar menjadi sangat periang. "Dia sangat ceria sebelum ini. Ketika kali terakhir saya menemuinya semasa kelas petang semalam, arwah sangat riang sehingga ditegur pensyarah kami yang turut hairan dengan kelakuannya itu. "Arwah merupakan seorang yang baik," katanya. Syarifah Noor Shahira berkata kesemua rakan sekelas mangsa terkejut dan sedih apabila dimaklumkan mengenai kematian Nuralya Damia yang juga merupakan penuntut tahun akhir jurusan Diploma Sistem Komputer dan Rangkaian kolej berkenaan. "Kami segera ke tempat kejadian apabila menerima maklumat mengenai kejadian ini dan tidak menyangka ia boleh menimpa (Nuralya) Damia kerana setahu kami dia tidak mempunyai masalah dengan sesiapa," katanya. Menurut rakan serumah mangsa yang mahu dikenali sebagai Ain, 19, beliau berkata sebelum kejadian mangsa ada memberitahunya ingin menemui seorang rakan lelaki yang juga pelajar kolej yang sama, kira-kira pukul 9 malam. "Pelajar lelaki itu turut tinggal di taman yang sama dengan kami," katanya. Sementara itu, seorang penduduk Taman PD Permata yang mahu dikenali sebagai Aishah, 44, berkata mayat mangsa ditemukan seorang penduduk ketika ingin membuang sampah berdekatan kawasan semak berkenaan kira-kira 10.30 malam. "Saya baru pulang dari solat tarawih dan dikejutkan dengan penemuan mayat pelajar itu...penduduk itu segera menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya yang telah tinggal di kawasan itu sejak 20 tahun. Tinjauan Bernama mendapati lokasi kejadian itu terletak di kawasan yang agak sunyi iaitu berdekatan rumah paling hujung dalam barisan rumah teres berhadapan tembok tinggi yang terletak kira-kira 200 meter dari tempat tinggal mangsa. Ekoran penemuan itu, lokasi itu turut dikerumuni orang ramai. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat. - BERNAMA