KUALA LUMPUR: Datuk Bandar, Tan Sri Mohd Amin Nordin Abd Aziz bersetuju untuk menangguhkan operasi mengunci tayar kenderaan di ibu negara, berkuat kuasa serta-merta sehingga mesyuarat bersama semua ahli Parlimen Kuala Lumpur pada Rabu depan. Mohd Amin berkata, ia adalah permintaan anggota-anggota Parlimen susulan satu pertemuan yang diadakan mereka bersama pengendali kawasan parkir beberapa hari lalu. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan kontrak kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), yang kemudiannya menyewa kontraktor parkir Vista Summerose untuk melakukan tugas berkenaan. YWP merupakan cabang kebajikan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan. "Jadi pada Isnin, kami tidak akan mengunci mana-mana tayar kenderaan tetapi saya menjangkakan terdapat beberapa masalah berikutan orang ramai akan meletakkan kenderaan di mana-mana dan tiada halangan dari segi penguatkuasaan," kata Mohd Amin. Beliau menambah, jika Ahli Parlimen tidak mahu pengendali tersebut, maka DBKL perlu mengkaji semula kontrak dari segi pampasan. "Ia tidak mudah untuk menghentikannya," katanya. Terdahulu, DBKL digesa untuk menggantung kontrak parkir yang diberikan kepada YWP dengan alasan pihak berkuasa tempatan tidak mengadakan tender terbuka. Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, jika kontrak itu diberikan atas dasar yang tidak munasabah, maka ia perlu dikaji semula. Beliau mencadangkan DBKL supaya menggantung kutipan parkir buat masa ini. Pengarah Urusan Vista Summerose, Datuk Nik Haidi Nik Mohamad ketika dihubungi berkata, beliau dimaklumkan mengenai keputusan Datuk Bandar (untuk menggantung tindakan mengunci tayar kenderaan) dan akan mematuhinya. Bagaimanapun, Nik Haidi melahirkan kebimbangan mengenai keputusan itu, dengan mengatakan bahawa pematuhan orang awam terhadap peraturan lalu lintas akan merosot dalam jangka masa panjang. "Mengunci tayar adalah cara yang baik untuk mendidik orang ramai kerana ia menghalang mereka dari melanggar undang-undang," katanya, sambil menambah bahawa kaedah penguatkuasaan itu akan menghalang kenderaan dari meletakkan kenderaan di tempat yang tidak wajar. Ditanya apakah yang akan berlaku sekiranya Datuk Bandar terpaksa menamatkan kontrak, Nik Haidi berkata, "Terdapat dua perkara di sini. Pertama, DBKL perlu membayar pampasan kepada kontraktor, hampir RM100 juta. "Kedua, apakah alternatif mereka? Mereka masih perlu mengupah pihak lain dengan teknologi untuk tugas berkenaan dan nampaknya ia tidak semudah itu," katanya. Nik Haidi berkata, daripada 250,000 kereta (pada waktu yang berlainan) yang memarkir di ibu negara setiap hari, hanya 80,000 membayar untuk kemudahan parkir. "Saya percaya kita telah melakukan kerja yang baik setakat ini, tapi tak ada yang nampak," kata Nik Haidi.