suria

Barang keperluan cukup sehingga Aidilfitri

Gambar hiasan. Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Bekalan barangan keperluan sepanjang bulan Ramadan sehingga sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah mencukupi, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, kementeriannya mengambil langkah proaktif memastikan bekalan mencukupi melalui peningkatan pengeluaran tempatan dan menambahkan kuota import bagi beberapa negara terpilih serta melaksanakan sekatan eksport ikan ke luar negara.  

"Perancangan bagi menjamin bekalan bahan makanan utama seperti daging, ayam, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan mencukupi bagi menghadapi musim perayaan telah dibuat sejak tiga bulan yang lalu, katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelas Salahuddin, bagi tempoh sebulan musim perayaan sempena bulan Ramadan dan Aidilfitri, anggaran jumlah pengeluaran bahan-bahan utama makanan adalah 49,733 metrik tan daging lembu (tempatan dan import); 351,046 metrik tan ayam (tempatan); 2,808 juta biji telur ayam; 15,000 metrik tan kobis bulat dan 108,500 metrik tan ikan (pelbagai spesies).

Kadar harga jualan di pasar khususnya di pasar tani sepatutnya berpatutan walaupun berlaku peningkatan permintaan semasa musim perayaan ini, katanya.

Tambah beliau, sekiranya berlaku bekalan yang tidak mencukupi dan wujudnya peningkatan harga, pengguna dinasihatkan untuk melaporkan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).  

Penguatkuasaan akan dipertingkatkan dengan kerjasama KPDNKK bagi memastikan tiada unsur pencatutan dan peniaga meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual, kata Salahuddin.  

Sebagai rujukan, tambah beliau, pengguna boleh menggunakan aplikasi MyHarga Tani dan Go Pasar Tani oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) serta Price Catcher oleh KPDNKK bagi mendapatkan maklumat dan perbandingan harga. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain