suria

Berdamai dengan Tun M, sukar untuk kata 'tidak'

PETALING JAYA: Tempoh 20 tahun bukan suatu tempoh singkat buat puteri reformasi, Nurul Izzah Anwar untuk merealisasikan impiannya membawa perubahan kepada negara ini.

Selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei lalu, ramai pihak ternanti-nanti untuk mengetahui perasaan sebenar keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah berdamai dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya ingin tekankan bahawa ia bukan sesuatu yang mudah buat kami kerana kami turun naik penjara.

"Kami menyaksikan sendiri bila institusi demokrasi disalah guna tapi saya selalu ingatkan diri saya tentang apa yang akan Rasulullah SAW buat.

"Kita cuba selami diri kita, apa yang akan kita buat kalau kita dalam keadaan sebegitu," katanya dalam satu wawancara secara langsung bersama Sinar Harian di Facebook, Ahad.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut mengakui bahawa sukar buat mereka sekeluarga untuk berkata tidak kepada Dr Mahathir yang hadir ke mahkamah untuk bersalam dengan bapanya dan mahu mewujudkan parti baharu (PH).

Anwar dibebaskan dari penjara pada 16 Mei lalu selepas menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

"Bila Tun M datang ke mahkamah, bersalam dengan ayah dan menyatakan mahu bersama PKR, sukarlah untuk kita katakan tidak," katanya.

Namun, Nurul Izzah sering berpesan kepada dirinya agar meletakkan keutamaan kepada negara.

Beliau juga mendakwa terpaksa melalui hari-hari yang sangat sukar dan kadangkala ia membuatkan dirinya berasa takut.

Bagaimanapun, ibu kepada dua cahaya mata itu menegaskan bahawa beliau tidak mahu membenci sesiapa dan enggan menjadikan perilaku buruk seseorang sebagai dendam peribadi.

Tambah beliau, kasih sayang yang dicurahkan oleh bapanya tidak dibatasi oleh tembok penjara kerana bagi Nurul Izzah: "Sama ada kita habiskan masa dengan ayah di penjara atau di istana, maknanya sama kerana kita masih berdampingan dengan kasih sayang.

"Itu nikmat yang Allah nak bagi, bukan soal bangunan mahligai yang hebat tapi saat dan kasih sayang yang kita kongsi."

Nurul Izzah, Anwar Ibrahim, Tun M

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain