PETALING JAYA: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membidas teguran pelakon, Dira Abu Zahar yang melabelkannya sebagai ‘Yang Budak-Budak’. ARTIKEL BERKAITAN: Minta SPRM siasat penjaga gol Liverpool, Dira kata Syed Saddiq 'YB budak-budak' Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM) menyindir Exco Puteri Umno itu sebagai 'lurus' kerana terlalu serius terhadap kenyataannya sebelum ini yang merupakan satu gurauan. “Sis ni ‘pembaris’ ke? Lurus sangat. “Mohon jadi ‘pembaris’ juga bila menegakkan keadilan,” kata Syed Saddiq di akaun Twitter miliknya, petang Ahad. Dira kemudian membalas komen Syed Saddiq di Twitter, dengan mengakui dirinya seorang yang 'lurus'. “Sis memang 'lurus'. Sis doakan awak pun lurus, jangan 'bengkok' ya," ujar pelakon itu. Terdahulu, Dira menegur status yang dimuat naik Syed Saddiq di Twitter apabila meminta penjaga gol Liverpool disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas pasukan itu kalah menentang Real Madrid di Liga Juara-Juara Eropah pagi Ahad. Dira mempersoalkan sama ada status itu wajar ditulis oleh seseorang bergelar Yang Berhormat (YB). “Yang Berhormat? atau lebih kepada Yang Budak-budak,” tulisnya pada pagi Ahad.