PETALING JAYA: "Saya tidak begitu mulia," demikian jawapan ringkas Tun Dr Mahathir Mohamad apabila ditanya mengenai usaha mencalonkannya sebagai penerima Anugerah Nobel. Perdana Menteri memberi maklum balas sedemikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Menara Yayasan Selangor di sini, Isnin petang. "Nobel Prize winner? I am not so noble (Pemenang Anugerah Nobel? Saya tidak begitu mulia)," katanya sambil tersenyum. Mulai 26 Mei lalu, kempen dalam talian telah dilancarkan untuk menamakan perdana menteri ketujuh Malaysia itu sebagai calon anugerah Nobel yang dianggap berprestij di dunia. Petisyen itu dimulakan untuk mengiktiraf usaha Dr Mahathir menyelamatkan Malaysia apabila kembali menerajui negara pada usia 93 tahun. Ia turut meraikan pertukaran tampuk kuasa yang berlaku secara aman yang mana Dr Mahathir mengakui tidak mahu membalas dendam terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak. Petisyen hasil usaha Alexandria Abishegam di Change.org pada Sabtu menerima 40,525 tandantangan sehingga 7 petang, Ahad. Selain itu, pengerusi PPBM itu turut memaklumkan parti itu akan mengadakan sambutan rumah terbuka sempena Aidilfitri tahun ini di Perak. Katanya, Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) di negeri itu akan menjadi tuan rumah untuk majlis itu. Selain itu, katanya, parti tersebut turut berbincang berkenaan keperluan untuk mengadakan mesyuarat agung parti dan majlis berbuka puasa pada Ramadan ini. "Kita akan adakan majlis iftar, tapi tak jemput pemberita la, cuma ahli parti sahaja. "Kita tiada duit, kami masih sangat miskin," katanya sambil berseloroh pada sidang media PPBM yang di Menara Yayasan Selangor di sini pada petang Isnin.