PETALING JAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mendedahkan punca prestasi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang disifatkan tidak begitu baik pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu. Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM mendakwa, pihaknya menerima laporan berkenaan wujudnya beberapa kes penipuan yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga menyebabkan beberapa calon parti itu mengalami kekalahan. "Ada yang setengahnya dah menang, tiba-tiba datang peti undi lain dan dengan peti undi lain ini pula, kita kalah. "Ada kes yang mana undi rosak beratus-ratus sampai 700, 800 undi rosak. Takkan lah orang Malaysia ni bodoh sangat tapi itulah sebabnya prestasi kita tidak begitu baik," katanya sambil memberitahu bahawa pihaknya masih gembira di atas kemenangan dalam PRU14. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PPBM di Menara Yayasan Selangor di sini pada petang Isnin. Tambah Dr Mahathir, kemenangan itu adalah sesuatu yang tidak dijangka, malahan mendakwa pihak media percaya bahawa parti tersebut akan kalah, tetapi keputusan sebaliknya berlaku pada 9 Mei lalu. "Bukan sahaja menang, tapi peralihan itu berlaku tanpa keganasan apa-apa," kata Dr Mahathir. Sebelum ini, Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah pada 10 Mei menafikan terdapat unsur muslihat dalam proses pengiraan undi berikutan proses tersebut yang mengambil masa terlalu panjang. Dalam perkembangan berkaitan, Dr Mahathir yang turut mengulas mengenai peletakan jawatan Mohd Hashim berkata: "Saya faham dia akan meletakkan jawatan, tapi kalau ada apa-apa yang menentang dia, tindakan akan diambil berpandukan undang-undang negara ini. "Sejauh yang parti tahu, kami akan mengemukakan kes kami dan ia bergantung kepada keputusan sama ada dakwaan kami berasas atau tidak, tapi selepas itu sudah tentu tindakan yang sewajarkan akan diambil."