suria

Bank Negara terlebih bayar tanah dibeli dari MoF

PETALING JAYA: Bank Negara dipercayai terlebih bayar untuk tanah yang dibeli dari Kementerian Kewangan (MoF) yang berharga RM2.066 bilion bagi 67.41 ekar tanah dan hasil kutipan itu kemudiannya digunakan untuk membayar obligasi kewangan 1MDB.

Walaupun urus niaga itu dibuat pada harga RM703.44 per kaki persegi (psf), sumber berkata sebuah syarikat khas (SPV) yang ditubuhkan MoF untuk menjalankan urus niaga tersebut pada awalnya mahukan 'empat angkat pada asas psf' tetapi harga berkenaan akhirnya diturunkan selepas rundingan dilakukan.

Sumber berkata walaupun Bank Negara mungkin mahukan tanah itu untuk tujuan latihannya sendiri kerana lokasinya terletak bersebelahan dengan Kompleks Sasana Kijang, tiada keperluan untuk membayar sebanyak RM703.44 psf untuk tanah tersebut.

Dalam satu lagi urus niaga MoF pada 2016/2017, harga psf untuk 19.14 ekar tanah dekat istana negara turun dari RM1,000 kepada RM775, kata sumber.

Menganalisis tanah Lot 41 (Bank Negara), sumber berkata tanah itu dikategorikan sebagai ruang terbuka awam berdasarkan peta zonasi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Dalam carian tanah, kategori penggunaan adalah kosong.

Secara umum, ia akan dikategorikan sebagai pertanian, bangunan atau kediaman bermaksud Bank Negara perlu membayar jumlah yang besar untuk yuran penukaran.

Pada 24 Mei lalu, MoF dalam satu kenyataan media memaklumkan RM2.066 bilion yang diperolehi hasil jualan Lot 41 dan penebusan pelaburan Khazanah berjumlah RM1.199 bilion digunakan untuk memenuhi obligasi hutang 1MDB.

Menurut kenyataan pada 22 Mei lalu, MoF telah membayar sebanyak RM6.98 bilion, separuh hutang 1MDB antara 19 April 2017 dan 11 Mei 2018.

Mengenai pembelian Bank Negara, StarBiz menemubual lima penilai dan empat daripadanya membandingkan tanah itu dengan jualan 19.14 ekar tanah oleh MoF kepada Jakel Land Sdn Bhd yang terletak berhampiran istana pada 2016/2017.

Tanah itu dibuka untuk tender pada harga rizab sebanyak RM833.3 juta atau RM1,000 psf pada suku pertama 2016.

MoF menurunkan harga dalam tender terbuka kedua berikutnya pada tahun itu.

Jualan itu dimuktamadkan pada harga RM774.90 psf atau RM646 juta, 22% lebih rendah berbanding harga rizab asal yang diiklankan.

Sumber menggunakan jualan tanah Jakel itu sebagai 'penanda aras pasaran' walaupun ia kira-kira satu pertiga saiz 67.14 ekar tanah milik Bank Negara.

Perunding hartanah Suleiman & Co dikatakan telah melakukan penilaian untuk Lot 41.

Pengarah dan anak lelaki kepada pengasas syarikat itu, Azlan Harris berkata:"Saya tidak tahu apa-apa mengenainya."

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata urus niaga itu dilakukan menerusi rundingan selengan dan dimuktamadkan selepas perbincangan selama beberapa bulan.

Bank Negara, Lot 41

Artikel Berikut

PM umum bonus hari ini

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan