suria

Khairuddin ke Interpol minta bantuan jejaki Jho Low

PETALING JAYA: Khairuddin Abu Hassan telah bertemu dengan pegawai Interpol di Perancis untuk membuat permohonan rasmi kepada mereka supaya mengesan Low Taek Jho atau Jho Low berkaitan kes kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam satu kenyataan di Facebook, Khairuddin berkata beliau telah berbincang secara terperinci dengan ejen Interpol untuk meletakkan Jho Low dan bekas Pengarah Urusan SRC International Nik Faisal Ariff Kamil di bawah 'red alert'.

Khairuddin berkata kedua-dua individu itu patut dijejaki supaya mereka boleh ditangkap dan dibawa pulang ke Malaysia.

"Kita tahu di mana mereka berada!! Insya-Allah, Jho low khususnya akan dicari hingga ke 'lubang cacing'.

"Jho Low mesti bertanggungjawab di atas segala pengkhianatannya dalam menyelewengkan puluhan bilion dana kerajaan serta duit rakyat dalam kes skandal 1mdb!!," kata Khairuddin.

Menurut Khairuddin, Jho Low dan Nik Faisal adalah 'kunci utama' kepada kes 1MDB.

"Sekiranya kita berjaya membawa pulang Jho low dan Nik faisal kelak, saya juga amat yakin setiap butiran kes skandal 1MDB akan dapat dikenal-pasti secara terperinci," katanya.

Namun, Khairuddin menegaskan kedua-dua individu itu akan dibawa pulang untuk dihadapkan ke muka pengadilan secara profesional, telus dan adil.

Beliau berkata kes 1MDB merupakan satu skandal kewangan terbesar di dunia.

"Saya turut berazam untuk membantu kerajaan Pakatan Harapan dalam apa cara sekalipun bagi membawa pulang setiap ringgit yang telah dirompak dan dilesapkan di seluruh dunia," katanya.

Khairuddin turut membuat laporan mengenai 1MDB di Australia, Switzerland dan Amerika Syarikat (AS).

Khairuddin Abu Hassan, 1MDB, Jho Low

Artikel Lain