PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan tampil mempertahankan tindakan menterinya, Mohamad Sabu yang menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Airbus A400M untuk lawatan ke Butterworth baru-baru ini. Menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu pada Rabu, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu telah menerima undangan daripada Panglima Tentera Udara Tan Sri Affendi Buang untuk Majlis Berbuka Puasa dan bertemu warga TUDM di Pangkalan Udara Butterworth. "Majlis ini merupakan program rasmi tahunan TUDM dan juga perjumpaan pertama anggota TUDM bersama Menteri Pertahanan," kata kenyataan itu. Mengulas lanjut, Kementerian Pertahanan berkata pada hari penerbangan itu, pesawat tersebut juga digunakan bagi memberi manfaat dan melengkapkan jam penerbangan juruterbang TUDM yang membawa pesawat berkenaan. "Ini kerana setiap juruterbang perlu melengkapkan jumlah jam penerbangan bagi mengekalkan tahap kompetensi mereka. "Selain itu penggunaan pesawat tersebut juga dapat menjimatkan kos pengangkutan dan masa berbanding menggunakan pesawat komersial bagi kedua-dua tujuan berkenaan," katanya. Jelas kementerian itu lagi, kehadiran Mat Sabu mengikuti penerbangan dengan pesawat tersebut juga bertujuan memberi pendedahan berkenaan keupayaan, prestasi, kredibiliti dan kemampuan pesawat A400M dalam menjalankan pelbagai operasi ketenteraan. "Warga TUDM khasnya dan ATM amnya amat terharu dan gembira di atas kesudian menteri pertahanan meluangkan masa menghadiri program yang dilaksanakan di peringkat perkhidmatan," katanya. Terdahulu, peguam Abu Backer Sidek Mohamad Zan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa Mat Sabu menyalahgunakan aset tentera untuk lawatan ke Butterworth pada Sabtu lalu. Abu Backer Sidek berkata, presiden Amanah itu diterbangkan ke Pulau Pinang untuk menghadiri majlis berbuka puasa di pangkalan Tentera Utara Diraja Malaysia (TUDM) di sana, sebelum ke Tasek Gelugor, kampung halamannya yang terletak berdekatan untuk satu majlis lain. Peguam itu menyifatkan penggunaan aset tentera untuk tujuan itu sebagai pembaziran dan tidak perlu kerana mendakwa setiap penerbangan menelan kos “sekurang-kurangnya AS$50,000 (RM199,125)”. Mat Sabu terbang ke Butterworth dengan pesawat TUDM Airbus A400M daripada 22 skuadron kira-kira pukul 5.15 petang, Sabtu lalu. Beliau ditemani isterinya, Normah Alwi dan pemimpin atasan pasukan tentera untuk menghadiri majlis berbuka puasa dengan warga TUDM di Pangkalan Udara TUDM Butterworth.