suria

Padah 'ketuk kepala', pegawai Imigresen digantung tugas

PETALING JAYA: Jabatan Imigresen menggantung tugas seorang pegawainya yang bertindak kasar terhadap seorang warga asing ketika bertugas di kaunter jabatan itu.

Video yang memaparkan tindakan pegawai berkenaan mengetuk kepala pelanggan jabatan itu telah tular pada pagi Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh pegawai Imigresen 'ketuk kepala' pelanggan

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, Jabatan Imigresen memandang serius berhubung perkara tersebut.

"Pengurusan tertinggi Jabatan Imigresen telah mengambil tindakan serta-merta dengan mengenakan tindakan tahan kerja ke atas pegawai tersebut.

"Perlakuan pegawai tersebut jelas menjejaskan imej jabatan dan bertentangan dengan kod etika jabatan dan perkhidmatan awam," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mustafar berkata, Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi terhadap pegawainya yang melakukan pelanggaran integriti sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan.

Beliau menambah, jabatan juga tidak akan melindungi pegawai yang melakukan kesalahan sedemikian.

"Tindakan yang serius akan diambil tanpa kompromi termasuk buang kerja terhadap pegawai yang melakukan kesalahan.

"Jabatan Imigresen tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tatatertib berdasarkan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) pindaan 2002," ujar Mustafar.

Sementara itu, bercakap kepada mStar Online, Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Datuk Rohaizi Bahari mengesahkan video yang tular itu berlaku di pejabat imigresen di Johor Bahru pada pagi Rabu.

Media sosial kecoh apabila video pendek berdurasi sembilan saat itu menunjukkan kepala seorang warga asing 'diketuk' oleh seorang pegawai lelaki menggunakan dokumen dipercayai pasport.

Berdasarkan video yang tular juga, insiden yang berlaku di kaunter nombor 4 'permohonan 3+1', menunjukkan pegawai itu kemudian mengambil tangan warga asing berkenaan dan meletakkannya di sebuah peranti dipercayai mesin pengimbas cap jari biometrik.

"Diam, diam, diam!," tengking pegawai itu kepada warga asing, sambil mengetuk peranti tersebut beberapa kali.

Imigresen, Johor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain