suria

“Lagi pelik, melampau pihak buat hutang ditanggung sekalian rakyat...” – Mufti Perlis

Dr Maza.

PETALING JAYA: Penubuhan Tabung Harapan Malaysia (THM) tidak seharusnya dipertikaikan rakyat kerana ia bersifat sukarela, kata Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Beliau berkata, usaha mengumpul dana itu tidak memerlukan paksaan mana-mana pihak untuk memberikan sumbangan.

“Tidaklah pelik jika ada yang cuba tolong pihak kerajaan bayar hutang. Ia satu usaha yang bersifat sukarela. 

“Siapa mahu boleh berikan, siapa tidak mahu boleh biarkan,” katanya di halaman Facebook miliknya pada Khamis.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Dr Maza bagaimanapun berkata, apa yang pelik dan melampau adalah pihak yang membuat hutang tetapi ditanggung oleh rakyat secara paksa tanpa rela. 

“Lebih kejam lagi apabila pihak yang mengambil hutang itu bermewahan, sementara rakyat yang menanggung hutang hidup dalam bebanan.

“Apa yang ganjil lagi ajaib apabila ada kelompok yang pernah menyatakan mereka berpuas hati dengan isu penyalahgunaan harta awam tersebut,” tambahnya.

Pada Rabu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan penubuhan THM khusus bagi membolehkan rakyat menyumbang bagi meringankan beban hutang negara.

Perdana menteri berkata, tabung amanah khusus yang dikendalikan Kementerian Kewangan itu adalah saluran untuk rakyat menderma bagi membantu kewangan kerajaan.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam kenyataan rasmi mengumumkan nombor akaun Malayan Banking Berhad untuk tujuan berkenaan iaitu 566010626452.

Tabung Harapan Malaysia, THM, Dr Maza

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan