suria

Tidak sampai perlukan interpol untuk cari Musa

KOTA KINABALU: Polis tidak akan meminta bantuan polis antarabangsa (Interpol) untuk mencari pengerusi Barisan Nasional Sabah, Tan Sri Musa Aman; kata Komisioner Polis Sabah Datuk Ramli Din (gambar).

"Tidak, tidak, tidak. Ia tidak serius begitu," kata beliau kepada pemberita ketika ditanya sama ada pihak polis akan mendapatkan bantuan Interpol bagi menjejaki Musa yang dipercayai berada di luar negara.

Ramli berkata, pihak polis sedar akan gambar dan video yang menunjukkan seorang lelaki mirip Musa di stesen keretapi St Pancras International di London, tetapi tidak akan melihat perkara itu.

Katanya, pihak polis hanya mahu Musa tampil memberikan keterangan.

Tanpa mendedahkan lokasi Musa, Ramli berkata bahawa polis telah menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Sibuga itu bagi mendapatkan keterangannya dan Musa memaklumkan akan pulang.

"Buat masa ini kita hanya perlu rekod keterangan beliau. Kita boleh tunggu," kata beliau sambil menambah Musa dipercayai tidak berada di Sabah sejak 14 Mei.

"Kami cuba menghubunginya menggunakan beberapa cara dan meminta beliau balik supaya kami dapat rekod keterangannya.

"Beliau (Musa) cakap dia akan balik," kata Ramli ketika ditemui di majlis penutup festival Kaamatan di Hongkod Koisaan di sini pada Khamis.

interpol, musa aman

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan