IPOH: Dua syarikat berpangkalan di Perak telah melangkah ke hadapan untuk menyumbang sebanyak RM1 juta kepada Tabung Harapan Malaysia (THM). Syarikat air mineral, Spritzer Bhd dan Yee Lee Corporation Bhd yang terkenal dengan minyak goreng Red Eagle, masing-masing menyumbang RM500,000 kepada dana itu. Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming, yang menerima dana itu bagi pihak kerajaan berkata, beliau berasa tersentuh dan menghargai sikap kedua-dua syarikat tersebut. "Derma oleh kedua-dua syarikat itu adalah yang terbesar setakat ini dari Perak. "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka atas hasrat yang bermakna dan berharap ia menggalakkan syarikat besar dan rakyat Malaysia untuk menderma kepada tabung itu," katanya semasa majlis penyampaian di ibu pejabat DAP Perak di sini pada Sabtu. Kor Ming berkata, derma kepada dana itu dilakukan secara sukarela dan Kerajaan tidak memaksa rakyat untuk menderma. "Ia merupakan perbuatan yang baik yang dilakukan secara sukarela, dan juga patriotik. "Jumlahnya tidak relevan, yang penting ialah ia datang dari hati," katanya. Pengarah eksekutif Spritzer, Dr Chuah Chaw Teo yang mewakili Spritzer dan Yee Lee berkata, mereka berbangga menyumbang wang itu untuk membantu negara ketika masa memerlukan.