SEREMBAN: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan akan bertanding untuk jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti 30 Jun ini. Beliau yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno berkata tujuannya bertanding kerana mahu mengembalikan semula semangat anggota-anggota Umno yang hilang berikutan kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14) baru-baru ini. "Saya harap niat saya menawarkan diri tidak disalah tafsir. Niat saya semata-mata hanya untuk berbakti kepada parti, masyarakat dan negara serta supaya parti ini tidak hilang daripada radar dalam negara. "Saya harap saya dapat memainkan peranan membantu presiden mengembalikan semula semangat juang dan peranan Umno dalam politik tanah air," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Khatam Tadarus Al-Quran Perdana anjuran Pertubuhan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan (Pekerti), Sabtu. Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan berkata jika diberi mandat oleh anggota parti, beliau bersama-sama rakan-rakan dalam Majlis Tertingi akan berusaha memperkasa semula Umno. "Kita nak satu Umno baharu yang semangat juangnya tinggi dan mereka yang bersama Umno pula bukan semata-mata kerana imbuhan atau ada agenda tertentu," katanya.- Bernama