KANGAR: Lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perlis Barisan Nasional (BN) menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau pada Ahad. Lapan ADUN berkenaan menghadap Raja Perlis selama kira-kira 30 minit. Menteri Besar dan Adun Bintong, Datuk Seri Azlan Man dan Adun Tambung Tulang, Datuk Ismail Kassim tidak hadir pada pertemuan itu. Semua lapan Adun itu dilihat hadir ke istana pada kira-kira pukul 10.30 pagi dan beredar pada pukul 11.15 pagi tanpa bercakap kepada pemberita yang menunggu di luar istana. Turut difahamkan sembilan Adun telah memfailkan satu tindakan di mahkamah Perlis pada 28 Mei lalu bagi mencabar perlantikan Azlan. Sembilan Adun itu percaya mempunyai kekuatan kes berdasarkan Perkara 39(6) yang menyatakan menteri besar hendaklah letak jawatan jika tidak lagi mendapat sokongan sebahagian besar Adun. Kemelut Perlis berlaku susulan tindakan mereka memboikot majlis istiadat perlantikan Azlan pada 24 Mei lalu.