suria

Lagi bekas menteri tanding Naib Presiden Umno

Mahdzir Khalid.

PETALING JAYA: Seorang lagi bekas menteri mengesahkan akan bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan parti, 30 Jun ini.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang juga bekas menteri pendidikan berkata, pembaharuan dalam semangat dan jati diri ahli parti serta pendekatannya dalam menghadapi cabaran akan datang memerlukan perancangan, usaha yang bersifat inklusif dan holistik.

Ahli Parlimen Padang Terap itu menjelaskan bahawa ia demi kelangsungan, kebangkitan dan pemerkasaan teras perjuangan ahli dalam parti.

“Amalan dan corak berpolitik, berorganisasi, bekerja, bermasyarakat yang sudah menjadi kebiasaan namun telah menjadi kurang relevan sewajarnya diperbaharui secara total bagi memacu teras utama agenda perjuangan kita demi agama, bangsa, rakyat dan negara tercinta, InsyaAllah.

“Justeru itu, bagi merealisasikan tekad tersebut saya, Mahdzir Khalid dengan ini menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden Umno dalam pemilihan Majlis Tertinggi Umno 2018,” kata Mahdzir dalam satu kenyataan pada petang Ahad.

Mahdzir berkata, beliau mahu berkongsi semangat, idea dan tenaga bagi memastikan parti keramat Umno terus diperkasakan dengan penuh kejujuran dan keinsafan untuk memperoleh kembali kepercayaan majoriti rakyat umum.

“Terjemahan sokongan saudara dan saudari perwakilan di semua peringkat kepimpinan Umno untuk memberikan kepercayaan kepada saya amatlah dihargai. 

“Ayuh kita bangkit bersama-sama memperbaharui agenda perjuangan Umno!,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan mengesahkan akan bertanding jawatan naib presiden parti.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau sudah mengisi borang pencalonan dalam talian petang Jumaat, sebaik sahaja pencalonan untuk pemilihan Umno bagi semua jawatan dalam parti mula dibuka sejak Khamis.

Selain itu, seorang lagi ahli MT Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilaporkan menawarkan diri untuk bertanding satu jawatan kepemimpinan di peringkat tertinggi pada pemilihan parti.

Bekas timbalan menteri pertanian dan industri asas tani itu disebut-sebut berkemungkinan akan bertanding bagi jawatan naib presiden.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Hentikan perang mulut!

Artikel Lain