suria

Tindakan terhadap Musa Aman, SPRM tunggu...

Musa Aman.

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu ia akan menunggu Tan Sri Musa Aman kembali sebelum melakukan tindakan selanjutnya.

"Buat masa ini, tiada tindakan kerana Musa masih berada di luar negara, jadi SPRM akan menunggu sehingga beliau kembali ke Sabah sebelum mengambil tindakan selanjutnya," kata seorang sumber ketika dihubungi pada Ahad.

Bulan lalu, pegawai SPRM ke rumah Musa untuk melakukan pemeriksaan tetapi gagal kerana ia tidak didiami sesiapa ketika itu.

Musa kemudian mengeluarkan kenyataan menerusi peguamnya, Zahir Shah pada 26 Mei lalu dengan mengatakan bahawa SPRM bebas untuk memeriksa kediamannya.

Musa kini dicari SPRM berhubung siasatan kes rasuah dan juga berhubung siasatan laporan polis Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah, Tun Juhar Mahiruddin terhadap beliau.

Beberapa sumber memberitahu Musa berada di London meskipun Jabatan Imigresen tidak mempunyai rekod Musa ke luar negara.

Kenyataan terbaharu Musa adalah Jumaat lalu apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Sibunga itu berjanji akan pulang secepat mungkin sebaik sahaja selesai menjalani rawatan.

Kenyataan Musa tanpa mendedahkan lokasinya, dikeluarkan sehari selepas beberapa gambar menyerupai beliau di London menjadi tular.

Dalam satu kenyataan, Musa turut menyatakan bahawa perjalanannya sentiasa melalui saluran imigresen.

Musa Aman, SPRM

Artikel Lain