SONGKOK kegemaran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikenali sebagai 'Songkok Gaya Tun' menjadi jenama yang dikenali ramai di Kompleks Pekan Rabu, Alor Setar, Kedah. Mendapat ilham untuk menghasilkan aksesori kepala itu pada 2002, Sardi Sahar, 60, menggunakan fabrik baldu tebal dari Korea, menjadikan songkok itu boleh dilipat tanpa merosakkan bentuk asalnya. "Tun (Dr Mahathir) tak pernah melepaskan peluang singgah di Pekan Rabu untuk membeli songkok. "Disebabkan itu, saya hasilkan songkok ini pada tahun 2002. Kemudian saya perkenalkan songkok itu pada Tun dan dia suka. "Malah, dia turut membenarkan saya menggunakan gambarnya di bungkusan produk tanpa sebarang bayaran. "Tun hanya minta saya kekalkan kualiti songkok itu," ujarnya kepada Bernama di Kompleks Pekan Rabu. Dalam pada itu, permintaan songkok berkenaan turut meningkat sebanyak 30 peratus setelah berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini. Datuk Bahador A Rahaman dari Langkawi merupakan salah seorang pelanggan tetap songkok berkenaan. "Hari ini saya beli untuk anak lelaki saya. Saya suka hasilnya. Ia tidak panas dan tidak membuat anda berpeluh," ujarnya. Untuk sambutan Aidilfitri tahun ini, Sardi sudah menghasilkan 1,000 songkok yang akan dihantar ke beberapa negeri termasuk Johor. Tempahan bukan sahaja dari orang biasa malah turut meliputi golongan kenamaan.