MUAR: Seorang bayi perempuan berusia 17 bulan hilang dipercayai diculik selepas sebuah kediaman di Kampung Parit Lanjut, Sungai Terap, di sini, dipecah masuk awal pagi Khamis. Kehilangan mangsa, Nur Aisyah Hasmizan dikesan selepas neneknya, 68, tahun yang turut tinggal di kediaman itu terjaga pada jam 5 pagi untuk menyiapkan juadah sahur. Ibu mangsa, Siti Noorfadilah Yusofe, 30, berkata, sebelum itu emaknya ada memaklumkan pintu belakang rumah mereka terbuka namun tidak mengesyaki apa-apa yang pelik. "Sebelum itu, saya tidur jam 3 pagi namun tidak mendengar sebarang bunyi pelik. Kemudian saya terjaga setelah anak sulung berusia 10 tahun minta koko crunch untuk bersahur. Selepas makanan disiapkan, saya ke bilik untuk kejutkan anak sulung bangun dan masaka itu juga baru sedar anak bongsu saya telah tiada di tempat tidurnya," katanya. Katanya, mereka kemudiannya mencari Aishah di dalam rumah tetapi gagal. "Selepas 30 minit saya dan suami buat laporan polis di Balai Polis Bukit Pasir 30 minit selepas itu," katanya. Menurutnya, tiada perkara lebih dibimbangkan selain keselamatan anaknya yang masih kecil itu. "Tak ada syak sesiapa pun. Barang berharga juga tak hilang, malah beg duit milik saya dan ibu juga tidak diambil. Cuma dua buah telefon bimbit yang dibawa lari. "Sehingga kini, kami juga tidak menerima sebarang panggilan ugutan," katanya, Siti Noorfadilah berkata, dia serahkan kepada polis sepenuhnya untuk menyelesaikan kes ini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip mengesahkan kejadian dan memaklumkan sedang menjalankan siasatan. Justeru itu, beliau meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan. Terdahulu, tular berita mengenai kehilangan bayi berkenaan di media sosial. - Sinar Online