KUALA LUMPUR: Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menggesa kajian semula dilakukan terhadap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). "Perdana Menteri berkata pada Rabu bahawa isu itu bukan mengenai pembubaran Jakim tetapi melihat peranan dan bagaimana untuk meningkat dan memperkasakan Jakim," kata Dr Zulkifli. Beliau berkata demikian selepas pertemuan selama 90 minit dengan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) di Menara Ilham pada Khamis. Ditanya sama ada beliau menyerahkan sebarang cadangan untuk memperbaiki Jakim, Dr Zulkifli berkata ia bukan peranannya untuk membuat cadangan kerana ia adalah tugas jawatankuasa yang ditubuhkan untuk mengkaji semula jabatan tersebut. Mengenai mesyuarat dengan CEP, Dr Zulkifli berkata ia hanya menyentuh penerangan berhubung tafsiran ayat-ayat al-Quran dan hadis berkaitan suasana masyarakat masa kini dan negara. Sebelum ini, Perdana Menteri berkata peranan Jakim akan dibincangkan semula dengan mengumpulkan sejumlah ilmuan Islam serta cendekiawan lain untuk membincangkan masa depan jabatan itu. Dr Mahathir berkata langkah tersebut adalah bagi melihat semula peranan badan berkenaan sama ada perlu dikekalkan seperti sekarang, atau dikembalikan kepada tujuan asal ia ditubuhkan dulu. Mesyuarat CEP pada Khamis turut memanggil pakar dalam bidang masing-masing seperti Prof Datuk Dr Raduan Che Rose mewakili Majlis Profesor Negara, Tan Sri Dr Yahya Awang (perubatan) dan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin (penggiat seni).