PETALING JAYA: Penangan video tutorial masakan yang diselit unsur drama ternyata membawa tuah apabila lelaki ini berjaya mengumpul lebih 100,000 pengikut di laman Instagram dalam tempoh 20 hari sejak awal Ramadan. Khairul Amin Kamarulzaman, 26, (gambar) mengakui terharu dengan penerimaan orang ramai terhadap video yang dihasilkannya secara suka-suka sahaja. "Saya sebenarnya minat memasak sejak kecil lagi. Apabila berkelapangan setelah balik kerja, saya rakam video tutorial masakan. "Dari tugas merakam, menyunting video serta yang menjadi chef, semuanya saya. Saya buat sendiri sahaja," ujarnya sewaktu dihubungi mStar Online. Menurut pemuda kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini, dia juga sering menghasilkan video perkahwinan, pengembaraan dan muzik video untuk kumpulan indie. Maka tidak hairanlah mengapa video tutorial masakan yang dihasilkannya kelihatan bertaraf professional seperti program televisyen. Tambahnya lagi, dia mula membuat video masakan sekitar dua tahun lalu. Namun, video tutorial yang diberi nafas baharu dengan elemen drama di laman Instagam sejak awal Ramadan tahun ini berjaya memikat hati netizen. Lebih membanggakan, jejaka yang dikenali dengan nama Khairulaming di Instagram ini menerima banyak maklum balas dari orang ramai yang terinspirasi dari video masakannya. "Saya terharu apabila orang hargai ilmu masakan dari video-video saya. Ada yang siap hantar gambar masakan mereka. "Banyak respon juga diterima daripada golongan isteri dan orang muda yang tak pernah masak, ada yang tak tahu masak langsung, tapi dapat inspirasi untuk memasak setelah menonton tutorial saya," ujarnya lagi. Dengan jumlah tontonan mencecah ratusan ribu bagi setiap video, ia bukan sahaja menjadi fenomena di laman Instagram malah turut ditularkan oleh netizen di Facebook dan Twitter. "Yang ni lawak! Serius tak pernah jumpa video masak yang siap ada dialog," tulis ns_wanie di Instagram. "Adoila dramatik betul cara nak masak. Apa-apa pun terima kasih sebab saya yang ditakdirkan tak pandai masak pun rasa teringin nak memasak lepas tengok video ini," tulis seorang lagi netizen. Mengulas mengenai projek 30 video masakan untuk 30 hari puasa, Khairul berkata ia hanyalah projek persendirian sahaja. "Saya suka tengok rancangan memasak, tapi cara penyampaian semua hampir sama. Jadi saya dapat ilham untuk buat 30 video masakan sepanjang bulan Ramadan. "Video masakan ini bukan sekadar ditambah elemen drama yang santai sahaja malah saya juga jujur dengan hasilnya. "Kadang-kadang masakan tak menjadi pun tapi saya berterus terang sahaja dalam video. Tak sangka orang suka pendekatan sebegini," katanya. Antara juadah yang dihasilkannya setakat ini ialah daging masak lada hitam, ayam madu, mango bingsu, ayam tandoori, cupcake pisang karamel dan banyak lagi.