KOTA KINABALU: Seorang remaja dipercayai telah mengelar dirinya sehingga maut selepas ibu bapanya melarang dia untuk mengikuti aktiviti agama Islam di Sandakan. Remaja lelaki berusia 19 tahun itu dijumpai mati berlumuran darah selepas tengah malam Khamis. Dia juga ditemui memegang gergaji yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu. Ketua Polis Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, remaja itu telah mengalami tekanan sejak beberapa hari lalu berikutan keputusan ibu bapanya melarangnya menghadiri aktiviti tersebut. Beliau berkata, sebelum insiden tersebut berlaku, remaja terbabit sepatutnya dihantar ke Kuala Lumpur untuk bekerja, namun mangsa enggan berbuat demikian. Mangsa kemudian pulang ke rumah selepas tiba di lapangan terbang Sandakan. "Selepas pulang ke rumah, remaja itu tidak menunjukkan sebarang reaksi tetapi tidak mahu bercakap dengan sesiapa," kata Azhar. Mangsa ditemukan maut tidak lama selepas itu dengan beberapa kesan kelar pada bahagian leher dan badannya. "Bapanya menjumpai mangsa terbaring tidak bernyawa di dapur rumah mereka kira-kira pukul 12.30 tengah malam," kata beliau. Mayat mangsa dibawa ke hospital untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.