suria

Tart nanas gulung teratas dalam carta biskut raya

KOTA BHARU: Menjelang Aidilfitri pelbagai jenis biskut raya pastinya menjadi pilihan sama ada tradisional mahupun moden setiap satunya tetap memiliki keistimewaan antaranya tart nanas yang boleh dikatakan tak lengkap meja hidangan jika tidak diserikan dengan sajian biskut ini pada hari lebaran.

Peredaran zaman menyaksikan tart nanas mengalami pelbagai transformasi dari segi rupa bentuk dan rasa, namun bagi penggemar biskut berkenaan, tart nanas gulung tetap mengungguli pilihan pelanggan.  

Menurut Pengurus Huzaifah Cookies Cawangan Bayam, Juwairiah Mohd Isa, 21, walaupun kini terdapat lambakan pelbagai jenis biskut raya moden di pasaran, namun permintaan terhadap tart nanas gulung mengatasi permintaan biskut lain.

“Bagi  memenuhi permintaan pelanggan, tart nanas  gulung sahaja sudah mencecah lebih 200,000 biji dibuat untuk jualan sepanjang bulan ini.

“Walaupun terdapat lebih 40 jenis biskut yang ditawarkan di kedai kami, termasuk tart nanas cheese, tart nanas samperit, tetapi biskut lain masih tidak mampu mengalahkan permintaan terhadap tart nanas gulung,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau menggunakan khidmat 20 pekerja bagi menyiapkan biskut berkenaan termasuk yang ditempah pemborong termasuk dari Sabah, Pahang, Terengganu dan Pulau Pinang.

Pengusaha Syadian Bakery and Cookies, Syadian Che Hussin, 25, turut mengakui permintaan tinggi terhadap tart nanas gulung dan pernah mendapat tempahan sehingga mencecah 12,000 biji dalam masa tiga hari tempahan dibuka berbanding biskut lain.

“Kulit kuih yang lembut, gebu serta cair dalam mulut dan intinya yang terasa kemanisan buah nanas menjadikan ia antara biskut yang menjadi hidangan tetap pelanggan untuk menjamu tetamu setiap kali sambutan Aidilfitri,” katanya.  

Perkara itu turut dikongsi Pengusaha Biskut Raya Paling Laris, Aznizan Yusof, 41, yang berkata tart nanas gulung antara kuih yang terlaris dibeli pelanggan di kedainya.  

“Walaupun saya menjual hampir 200 jenis biskut lain antaranya Wakana, Hawaiian Coconut serta Almond Crunchy akan tetapi tart nanas gulung  tetap menjadi pilihan pembeli,“ katanya yang menambah populariti tart nanas gulung turut mengatasi tart nanas kiub yang tular tahun ini.  

Katanya selain  berbeza dari segi tekstur, inti nanas  dalam tart gulung lebih padat malah kulit biskutnya lebih gebu berbanding tart nanas kiub.  

Peminat tart nanas  gulung Naimah Romlee, 36, berkata biskut itu menjadi pilihan beliau kerana rasanya yang unik dan asli, menjadikannya menu ‘wajib' untuk keluarganya menyambut lebaran.

tart nenas

Artikel Lain