PETALING JAYA: Bagaimana agaknya jika menteri-menteri baharu Malaysia yang sering kelihatan formal di majlis rasmi kerajaan tampil dengan imej hipster? Bunyi seperti mustahil tetapi tidak bagi seorang pengarah kreatif, Aizat Paharodzi apabila ilustrasi pemimpin tertinggi negara dengan imej santai yang dihasilkannya telah tular di media sosial. Menerusi ilustrasi tersebut, Aizat melakar wajah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; timbalannya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu atau Mat Sabu dalam persalinan gaya generasi milenium. Lakaran imej Dr Mahathir dan Wan Azizah. Kata Aizat, 33, lakaran itu hasil karyanya yang tertangguh sejak tiga tahun lalu dan baru disiapkan sebelum ia dimuat naik ke laman Instagram dan Twitter. Setakat ini, posting tersebut telah menerima sebanyak 1,056 retweets dan 890 tanda suka (likes). "Dulu saya dah siap separuh tapi tidak sempat nak sudahkan semuanya. "Tapi, sebab sekarang pun masih demam pilihan raya umum (PRU), sebab itu saya hasilkan lakaran tersebut," katanya kepada mStar Online pada Jumaat. Lakaran imej dari kiri, Muhyiddin, Guan Eng dan Mat Sabu. Menurut pengarah yang banyak terlibat dalam produksi video dan iklan ini, dia mendapat inspirasi untuk menghasilkan lakaran tersebut daripada pelukis terkenal, Amit Shimoni yang pernah menghasilkan ilustrasi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam imej berbeza. Tambah Aizat, idea fesyen pada lakaran tersebut hadir secara spontan kerana ingin melihat perbezaan dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu agar tampil dalam imej seperti golongan muda masa kini. Aizat turut bercadang untuk menghasilkan lakaran pemimpin pembangkang pula pada masa akan datang. Lakaran wajah Trump oleh Shimoni. "Ada ramai yang cadangkan saya lukis gambar YB Syed Saddiq dan Nurul Izzah selepas melihat lakaran itu. "Tapi saya mungkin akan lukis pemimpin pembangkang pula selepas ini kerana orang kita sudah biasa tengok imej Syed Saddiq dan Nurul Izzah macam anak muda sekarang. "Saya hasilkan lukisan ini sekadar suka-suka bukan nak nyatakan sokongan kepada mana-mana parti politik. Saya lebih senang bersikap neutral," ujar lelaki yang menetap di Subang Jaya itu.