IA satu pengakhiran menggembirakan buat sepasang kekasih apabila mereka bertemu semula selepas terpisah 25 tahun lalu. Sinar Harian melaporkan Hussin Ahmad, 65, bertemu Loyah Embong, 50, pada 1980 semasa beliau berkhidmat dakam tentera di kem Seri Pantai, Terengganu. Namun mereka terputus hubungan antara satu sama lain apabila Hussin berpindah ke kem lain. Kedua-dua mereka bertemu semula menerusi Facebook. "Saya tidak menjangka kami berdua akan bertemu semula dalam situasi di mana kami berdua berstatus bapa dan ibu tunggal. "Kami bertemu di Facebook. Kami berhubung antara satu sama lain dua minggu sebelum berkahwin, Februari lalu," katanya pada majlis penyerahan hadiah perkahwinan ibu dan bapa tunggal di Kuala Terengganu pada Khamis. Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) mengagihkan peruntukan sebanyak RM119,000 kepada 119 pasangan ibu dan bapa tunggal yang melangsungkan perkahwinan tahun ini. Pengarahnya Mohd Shafaruddin Mustaffa berkata insentif itu bertujuan menggalakkan perkahwinan di kalangan mereka sekali gus, mencegah gejala tidak sihat seperti khalwat selain memberi mereka peluang membela anak-anak yatim yang ditinggalkan bapa akibat perceraian atau kematian. Setiap pasangan itu diberikan ganjaran sebanyak RM1,000 untuk digunakan bagi memenuhi keperluan kehidupan baru dan sebagainya. "Dalam bajet 2018, kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk diagihkan kepada mana-mana ibu atau bapa tunggal yang berkahwin dengan syarat mestilah anak Terengganu. Agihan ini adalah yang pertama untuk tahun ini. "Kita masih ada peruntukan lebih RM80,000 untuk disalurkan kepada mereka yang layak," katanya. Oleh itu, katanya, mana-mana ibu atau bapa tunggal yang berminat atau sudah berkahwin boleh mendaftar dengan YPK bagi mendapatkan insentif berkenaan.