KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa mengumumkan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno dalam pemilihan parti 30 Jun ini. Annuar yang juga Anggota Parlimen Ketereh berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira situasi terkini dalam parti dan setelah berbincang dengan pemimpin kanan parti di peringkat nasional dan negeri. "Saya dengan penuh rasa tanggungjawab memaklumkan bahawa saya akan menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno dalam pemilihan Umno pada 30 Jun ini. "Kepada Allah SWT saya berserah. Semoga segalanya berjalan dengan baik dan kesetiaan saya pada parti demi memperjuangkan agama, bangsa dan negara akan terus saya pertahankan, Insya-Allah," katanya menerusi catatan akaun Facebook miliknya, Sabtu malam. Setakat ini, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan turut mengumumkan untuk bertanding jawatan sama.Majlis Tertinggi Umno menetapkan tarikh persidangan tahunan Cawangan Umno dan Pergerakan Wanita, Pemuda serta Puteri Umno bermula pada 19 Mei 2018 sehingga 10 Jun 2018. Mesyuarat Umno di peringkat bahagian pula ditetapkan pada 30 Jun 2018 dan kesemua persidangan ini dijalankan secara serentak dengan pemilihan parti di semua peringkat. Setakat ini, hanya nama pemangku tugas presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disahkan bertanding untuk jawatan presiden. Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula mengesahkan tidak akan bertanding untuk mana-mana jawatan dalam parti itu. -Bernama